Peniaga pasar mengangkat meja susulan Pasar Datuk Keramat yang ditutup sepenuhnya selama 14 hari bermula 8 Julai hingga 21 Julai bagi membendung penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 07 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Peniaga semakin yakin menjelang suku tahun keempat 2021 dengan merekodkan petunjuk keyakinan -0.3 peratus berbanding -21.3 peratus suku tahun sebelumnya.

Sentimen ini bertambah baik berikutan kelonggaran sekatan ekonomi pada pertengahan Oktober 2021, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

Menurut beliau, survei ini menunjukkan kesemua sektor menjangkakan prospek perniagaan yang lebih baik dengan sektor industri dan perdagangan borong &
runcit melonjak ke trajektori positif.

Sektor industri meramalkan pandangan positif iaitu +3.6 peratus pada suku tahun rujukan berbanding -11.0 peratus pada suku tahun yang lalu.

Petunjuk keyakinan bagi sektor perdagangan borong & runcit turut meningkat pada suku tahun keempat 2021 kepada +3.3 peratus daripada -39.4 peratus.

Sementara itu, sektor perkhidmatan dan pembinaan menjangkakan prestasi perniagaan yang bertambah baik, walaupun berada di trajektori negatif.

Petunjuk keyakinan bagi sektor perkhidmatan berada di negatif yang lebih baik dengan -1.3 peratus berbanding -22.8 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Manakala, sektor pembinaan mencatatkan petunjuk keyakinan negatif yang lebih kecil iaitu -40.4 peratus berbanding -45.0 peratus pada suku tahun lalu.

Sejumlah 48.2 peratus daripada responden meliputi semua sektor meramalkan hasil kasar mereka meningkat, manakala 14.6 peratus responden menjangkakan hasil kasar mereka akan menurun.

Perbezaan tersebut mendorong kepada imbangan bersih +33.5 peratus.

Pada masa yang sama, 37.2 peratus responden meramalkan hasil kasar mereka tidak berubah.

Melihat kepada trend pekerjaan, sejumlah +5.1 peratus imbangan bersih dicatatkan bagi suku tahun keempat 2021, meningkat daripada -6.5 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Imbangan bersih berkenaan didorong oleh 15.9 peratus pertubuhan yang merancang untuk menggaji lebih ramai pekerja, manakala 10.9 peratus pertubuhan meramalkan pengurangan pekerja.

Merujuk kepada tinjauan perniagaan bagi enam bulan mendatang, keyakinan oleh sektor industri, perniagaan borong & runcit dan perkhidmatan merangsang imbangan bersih keseluruhan untuk merekodkan +24.1 peratus bagi tempoh Oktober 2021 hingga Mac 2022 berbanding -21.7 peratus direkodkan sebelum ini.

Sektor industri meramalkan keadaan perniagaan yang kukuh dengan imbangan bersih +24.5 peratus bagi tempoh yang sama berbanding -11.8 peratus direkodkan untuk tempoh Julai hingga Disember 2021.

Sektor perdagangan borong dan runcit terutamanya optimistik terhadap situasi perniagaan untuk enam bulan ke hadapan dengan lonjakan imbangan bersih kepada +35.1 peratus daripada -59.7 peratus dicatatkan sebelumnya.

Secara khusus, kedua-dua subsektor perdagangan borong dan perdagangan runcit melonjak ke trajektori positif.

Pada sama, sektor Perkhidmatan menjangkakan pandangan perniagaan yang positif dengan +24.3 peratus untuk enam bulan akan datang berbanding -14.2 peratus mencerminkan semua subsektor di bawah sektor perkhidmatan mencatatkan imbangan bersih positif kecuali subsektor hartanah dan teknologi maklumat dan komunikasi.

Sebaliknya, sektor pembinaan kekal dalam zon pesimis dengan imbangan bersih lebih baik iaitu -18.4 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast