Tuesday, April 23, 2024
Home Nasional Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK serah watikah pelantikan kepada Ratu Elizabeth II

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK serah watikah pelantikan kepada Ratu Elizabeth II

Zakri Jaafar menyerahkan watikah pelantikannya kepada Ratu Elizabeth II pada Khamis, dalam satu majlis maya yang diadakan di Istana Buckingham di London.Foto Kredit:Twitter rasmi The Royal Family
KUALA LUMPUR – Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom (UK) yang baharu Zakri Jaafar menyerahkan watikah pelantikannya kepada Ratu Elizabeth II pada Khamis, dalam satu majlis maya yang diadakan di Istana Buckingham di London.
Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis berkata, semasa majlis itu, Zakri menyatakan beliau amat berbesar hati atas lantikan itu dan akan berusaha untuk mengerat serta mengembangkan lagi persahabatan dan kerjasama antara Malaysia dan UK ke tahap yang lebih tinggi.
Beliau turut menyampaikan salam hormat daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, serta ucapan salam bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia kepada kerajaan dan rakyat UK.
Zakri merupakan diplomat kanan yang berkhidmat di Kementerian Luar sejak 1992, kata kenyataan itu.
Sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK, diplomat itu pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Jordan dari 2014 hingga 2017 dan ke Bosnia dan Herzegovina dari 2017 hingga Mei 2021.
Bermula pada tahun 1957, hubungan diplomatik antara Malaysia dan UK adalah substantif dan meluas merangkumi pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, pendidikan dan latihan, perubahan iklim, budaya dan pelancongan, dan hubungan sesama rakyat.
Kenyataan itu menyebut, UK kekal sebagai rakan dagangan dan ekonomi penting bagi Malaysia dengan perdagangan dua hala yang positif sejak 10 tahun lalu.
Meskipun menghadapi pandemik COVID-19 pada 2020, jumlah dagangan meningkat 1.4 peratus kepada RM16.69 bilion berbanding 2019, dengan eksport ke UK bernilai RM9.99 bilion manakala import bernilai RM 6.71 bilion.
Dari Januari hingga September 2021, jumlah dagangan Malaysia dengan UK meningkat 4.9 peratus kepada RM12.59 bilion.- MalaysiaGazette