Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Khas Rumah Johor di Gerbang Nusajaya, Iskandar hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Projek pembangunan di Johor terutama di wilayah Iskandar Malaysia dan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) memberi manfaat kepada rakyat dan bukan pembaziran.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri memberi tumpuan penuh dalam memastikan projek-projek pembangunan di negeri ini terus dilaksana sebaik mungkin.

“Johor akan buktikan setiap projek yang dibangunkan di negeri ini akan memberi manfaat kepada rakyat. Kita juga komited untuk memastikan ekonomi Johor kembali pulih dan menjadi negeri penyumbang terbesar kepada ekonomi negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Khas Rumah Johor di Gerbang Nusajaya di sini hari ini.

Turut hadir Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Ayub Jamil dan Datuk Bandar Iskandar Puteri, Datuk Mohd Haffiz Ahmad.

Pada minggu lalu tular satu video berdurasi lebih 16 minit membabitkan projek Forest City di Iskandar Puteri yang merupakan antara lima projek mega didakwa tidak memberi keuntungan.

Manakala pada 20 November lalu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menafikan dakwaan projek Forest City sebuah projek mega yang gagal.

Sebaliknya memberitahu projek tersebut sedang dibangunkan secara mampan dan berterusan.

Dalam pada itu, Hasni turut menambah  projek yang menjadi tumpuan kerajaan negeri ketika ini adalah penyediaan rumah kediaman mampu milik yang selesa.

“Selaku Menteri Besar, saya ingin menjadikan negeri ini sebagai sebuah negeri yang terbaik dalam Malaysia sesuai dengan kedudukannya yang berjiran dengan sebuah negara maju,” katanya. – MalaysiaGazette