Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Halimah Sadique (kanan) menunjukkan buku Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan Kami @ Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto AFFAN FAUZI, 28 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique menepis daripada mengulas isu beberapa sekolah rendah bantuan kerajaan beraliran Cina di Pekan, Pahang yang menerima papan tanda nama sekolah baru tanpa aksara Cina.

Sebaliknya beliau berkata, segala keputusan mengenai papan tanda itu adalah melibatkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan kerajaan negeri Pahang.

“Dia begini, oleh kerana ini (melibatkan) Jabatan Pendidikan, saya ingat kita patut dapat respons daripada KPM dan kedua kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan [email protected] Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 di sini, hari ini.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar Sinchew Daily baru-baru ini mengenai Jabatan Pendidikan Pahang yang membekalkan papan tanda mengandungi nama sekolah SJK(C) dalam Bahasa Melayu dan tulisan Jawi, tetapi tidak dalam aksara Cina.

Sekolah terbabit adalah SJK(C) Yoke Hwa dan SJK(C) Kee Wha.

Bagaimanapun Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mah Hang Soon semalam dilaporkan telah mengarahkan jabatan pendidikan negeri membina papan tanda baharu yang mengandungi aksara Cina dan Tamil manakala, papan tanda nama sekolah sedia ada tidak perlu diturunkan.

Dalam pada itu, Halimah ketika ditanya mengenai sama ada tindakan tidak memasukkan aksara Cina itu selari dengan perpaduan negara, beliau berkata, Bahasa Melayu adalah bahasa Kebangsaan.

“Dia macam saya sebut dari segi penjenamaan itu, bahasa Melayu ini adalah bahasa Kebangsaan.

“Jadi, kalau contoh nak diletak bahasa lain itu patut jadi keputusan kementerian tersebut.

“Kedua di peringkat negeri ada kaitan dengan kerajaan negeri, jadi kalau pada pandangan kerajaan negeri perlu ada keperluan itu terpulang kepada kementerian dan kerajaan negeri,” ujarnya.

Dalam pada itu Halimah turut enggan mengulas apabila ditanya sama ada menghapuskan aksara Cina itu tidak menghormati bangsa lain.

“Saya tak nak jawab yang itu kerana menjurus kepada perkara spesifik. Saya ingat kita dapatkan respons dan kenyataan dari KPM,” ujarnya.

Isu berkenaan telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan kumpulan pendidik dan parti politik, teramsuk pemimpin DAP yang dilihat mengkritik tindakan tersebut sebagai penghinaan terhadap kepelbagaian budaya. – MalaysiaGazette