Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim, Gambar Ihsan PDRM

GOMBAK – Berwaspada sekiranya ada pihak yang menghubungi anda di dalam talian meminta simpati bagi mengutip dana kebajikan dengan alasan membantu anak yatim, golongan orang kelainan upaya (OKU).

Itu nasihat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengesan satu sindiket penipuan menyalahgunakan nama pusat kebajikan anak yatim dan OKU dan mengutip dana dalam talian.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, seramai 14 individu yang disyaki terbabit penipuan dalam talian itu sudah diberkas polis setakat ini.

“Sindiket berkenaan menggunakan taktik licik iaitu menghubungi mangsa untuk meminta sumbangan wang dana kebajikan anak yatim, madrasah dan OKU.

“Mangsa yang rasa bersimpati dengan sindiket berkenaan akan memasukkan wang ke dalam akaun bank diberikan dan siasatan mendapati akaun itu rupa-rupanya adalah keldai akaun milik orang lain yang digunakan untuk tujuan jenayah berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sini pagi tadi.

Mengulas lanjut, Mazlan menambah kesemua suspek yang ditahan sedang disiasat direman dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Hasil siasatan awal polis ke atas mereka mendapati sindiket itu turut menyediakan skrip perbualan yang teratur dalam kertas sebelum menghubungi seseorang mangsa mengelak dikesan mana-mana dalam talian antaranya  difahamkan Facebook, WhatsApp dan rangkaian sosial yang popular.

“Modus operandi sindiket ini ialah mereka akan memperkenalkan diri kononnya daripada pusat kebajikan tertentu untuk minta sumbangan sebelum meluahkan segala bentuk ayat yang meraih simpati memperdaya mangsa untuk menyumbang wang.

“Sindiket penipuan itu telah dikesan masih aktif melakukan jenayah tersebut sehingga kini maka PDRM menasihati orang ramai supaya jangan mudah terpedaya sekiranya seseorang memujuk anda dengan alasan kutipan dana kebajikan menggunakan mana-mana nama pertubuhan kebajikan,” ujarnya.

Beliau menggesa orang ramai segera menghubungi polis sebelum membuat sebarang transaksi.

“Saya sudah mengarahkan kepada pasukan polis daerah supaya sekiranya mendapat maklumat sebegini segera turun ke lapangan dan menjejaki pertubuhan yang disalahgunakan oleh suspek dan seterusnya mengesahkan dengan pihak terbabit tentang kesahihan maklumat mereka terlibat dalam sebarang kutipan dana kebajikan di luar seperti didakwa sindiket itu,” tegasnya.-MalaysiaGazette