Foto: Facebook Kuala Lumpur City Football Club

KUALA LUMPUR – Pemain Kuala Lumpur (KL) City FC bakal menerima bonus khas sekiranya berjaya menjulang Piala Malaysia 2021 apabila bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abd Samad berkata, insentif itu akan diberi sebagai penghargaan buat pemain jika skuad ‘The City Boys’ mampu menamatkan kemarau 32 tahun, selepas kali terakhir muncul juara Piala Malaysia pada 1989.

“Kita memang telah menjanjikan bonus kepada semua pemain, (dan) bonus khas kalau kita mencapai kemenangan menjadi juara Piala Malaysia bagi ulang tahun yang ke-100 ini. Itu sememangnya satu pencapaian yang mengatasi segala harapan kita sebelum ini.

“Maka dengan hadiah kejuaraan ini, saya yakin pihak penaja kita juga akan tambah nilai itu kepada pemain sekiranya kita menjadi juara,” katanya bahawa jumlah insentif itu masih belum ditentukan, pada sidang media di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras hari ini.

Menurutnya, meskipun pasukan itu hanya berbekalkan dana yang rendah, komitmen para pemain, pihak penaja serta pengurusan telah menjadi pembakar semangat untuk menunjukkan prestasi cemerlang pada kejuaraan kali ini sehingga berjaya mara ke pentas akhir Piala Malaysia.

Mengulas lanjut, Khalid yakin skuad kendalian Bojan Hodak tidak gerun dan akan menampilkan prestasi 110 peratus dalam perlawanan akhir menentang juara bertahan, JDT, yang turun selaku pasukan pilihan.

Beliau berkata, sebagai pasukan ‘underdog’, mereka akan berjuang habis-habisan sehingga wisel penamat dalam usaha menambat kembali hati penyokongnya, setelah 32 tahun tanpa pencapaian yang membanggakan.

“Walaupun kita akan berdepan JDT, pasukan yang digelar sebagai the ‘Dream Team of Malaysian Football’, Insya-Allah KL City mampu melakukan kejutan kerana kami jauh lebih dahagakan kemenangan ini,” katanya.

Pasukan ibu kota itu pernah muncul juara Piala Malaysia sebanyak tiga kali berturut-turut bermula 1987. – Bernama