SOP untuk setiap penonton ke stadium yang disediakan MFL menjelang final Piala Malaysia. Ihsan MFL.

KUALA LUMPUR – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menggariskan pematuhan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) ketat pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Bukit Jalil, di sini, bagi memastikan tiada jangkitan Covid-19 dari venue tersebut.

Menurut MFL, penonton perlu  membuat imbasan MySejahtera di pintu masuk dan sukarelawan bertugas juga akan membawa pengimbas QR dan menjaga penjarakan fizikal semasa penonton beratur.

“Setiap penonton wajib menunjukkan sijil digital vaksinasi atau kad fizikal vaksinasi dan mesti lengkap dua dos dan cukup tempoh matang selain status MySejahtera juga perlu berwarna biru diikuti pemeriksaan suhu di kaunter saringan diadakan,” kata MFL.

Johor Darul Ta’zim (JDT) akan berentap dengan KL City FC pada perlawanan akhir Piala Malaysia, esok.

Katanya, penonton diwajibkan membawa lampiran pembelian tiket (e-tiket), kad pengenalan atau lesen memandu untuk semakan dan e-tiket perlawanan tidak boleh dipindah hak milik.

Penonton juga perlu duduk di tempat duduk yang ditandakan dan menjaga penjarakan fizikal selain sentiasa memakai pelitup muka, ujarnya.

SOP untuk setiap penonton ke stadium yang disediakan MFL menjelang final Piala Malaysia Selasa ini.Ihsan MFL.

Selain itu, Jelasnya, penonton tidak dibenarkan pergi ke tandas dan surau semasa rehat separuh masa, sebaliknya ia hanya dibenarkan sebelum, semasa dan selepas perlawanan.

MFL berkata, aktiviti makan dan minium di dalam stadium tidak dibenarkan sama sekali dan mereka hanya boleh berbuat demikian di tapak khas penjaja kenderaan saji (food truck) di pekarangan stadium sebelum masuk untuk menonton perlawanan bola sepak.

Tambahnya, SOP Piala Malaysia juga melarang penonton membawa masuk makanan dan minuman, mercun, bunga api, suah, lazer, mancis atau pemetik api, topi keledar serta sebarang objek yang boleh digunakan sebagai senjata dan dron ke dalam stadium. – MalaysiaGazette