Foto Ihsan IPD Dang Wangi

KUALA LUMPUR – Polis Daerah Dang Wangi hari ini melupuskan barang kes siasatan jenayah yang dianggarkan berjumlah RM541,296.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kesemua barang kes berkenaan membabitkan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Dang Wangi yang melibatkan 107 kes perjudian, 10 kes pelacuran, 66 kes curi dan 20 kes penjualan cakera video digital (DVD) cetak rompak.

“Di dalam pelupusan barang kes ini, Bahagian Siasatan Jenayah pula telah melupuskan sebanyak 442 peralatan perjudian, 576 peralatan pelacuran, wang tunai berjumlah RM18,680 dan 118 barang curi dijumpai semula beserta wang tunai RM616.

“Kesemua barang kes yang terlibat telah dibuat permohonan pelupusan di hadapan Majistret Mahkamah Jalan Duta pada 23 November lalu yang melibatkan 183 kertas siasatan dan telah diluluskan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Tambah beliau, BSJK IPD Dang Wangi telah melupuskan sebanyak 6,273 keping DVD cetak rompak yang dianggarkan bernilai RM62,730.00.

Ujar beliau, kesemua barang kes yang terlibat telah dibuat permohonan pelupusan di hadapan Majistret Mahkamah Jalan Duta pada 26 November lalu yang melibatkan 20 kertas siasatan dan telah diluluskan.

“Pihak polis IPD Dang Wangi memberi amaran keras agar orang ramai tidak terlibat dengan apa-apa kegiatan yang melanggari undang-undang.

“Pihak polis juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana orang dan premis yang melanggar undang-undang,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti jenayah boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mengunjungi balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette