Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim mendakwa Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berbohong di Dewan Rakyat.

Menurut beliau, Wan Fayhsal pada 26 Ogos tahun lalu  mengeluarkan kenyataan menggesa agar sekolah vernakular perlu dimansuhkan secara berperingkat.

“Ini jelas jawapan yang tidak benar, sebab timbalan menteri juga menyatakan supaya sekolah vanikular dimansuhkan. kalau nak tambah baik Bahasa Melayu, kita boleh tambah baik Bahasa Melayu bukan dengan memansuhkan sekolah vernakular.

“Timbalan menteri telah berikan satu jawapan yang tidak benar dan menyelewengkan dewan berkenaan dengan pendirian dan juga kenyataan beliau,” katanya pada sesi celahan di Dewan Rakyat pada soalan lisan, hari ini.

Sebelum ini, Wan Ahmad Fayhsal di Dewan Rakyat ketika menjawab pertanyaan lisan ke 14 menafikan  dirinya mendesak agar sekolah-sekolah vernakular dimansuhkan atas kapasiti beliau sebagai timbalan menteri.

“Kenyataan yang saya keluarkan itu mengenai sekolah vernakluar adalah atas kapasiti sebagai Ketua Armada bukan sebagai Timbalan Menteri Perpaduan pada tahun lalu.

“Yang saya tekankan pada kenyataan itu adalah berhubung dengan perlunya ada satu usaha yang kukuh untuk memastikan sekolah vanilukar mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang boleh menghubungkan antara guru dan masyrakat.

“Saya rasa ini adalah perkara yang penting dan kita teliti bersama. Saya yakin ada lebih ramai pelajar dan individu seperti Ahli Parlimen Bukit Mertajam yang memahami persuratan Melayu dengan lebih mendalam dan baik dan bertutur Bahasa Melayu dengan baik dan saya yakin inilah produk yang ingin kita jadikan contoh sebagai agen perpaduan di peringkat sekolah vanikular.

“Yang saya maksudkan disitu bukanlah mansuhkan tapi memantapkan Bahasa Melayu di sekolah vernakular,” jelas Wan Fayhsal.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dalam kenyataannya di Facebook berkata, usaha berkenaan perlu menjadi keutamaan agenda nasional dan bukannya digunakan sebagai bahan politik untuk sekadar meraih undi.

Dalam pada itu, Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique memberi jaminan kerajaan tidak akan memansuhkan sekolah vernakular.

Untuk rekod, Wan Fayhsal dilantik ke jawatan Timbalan Menteri Perpaduan Negara bermula 30 Ogos lalu.

Beliau sebelum ini menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan di bawah Datuk Seri Reezal Merican ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin bermula 10 Mac 2020. – MalaysiaGazette