Mazlan (kiri) menyampaikan sumbangan serta bakul makanan kepada anggota polis yang berstatus asnaf, anak yatim di Pangkalan Polis Marin Batu Uban di sini, hari ini.

GEORGE TOWN – Seramai 8,733 pegawai serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) seluruh negara sudah menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 setakat Ahad lalu.

Manakala 106,352 lagi masih menunggu giliran, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim.

Menurut Mazlan, tiada anggota mahupun pegawai PDRM menolak suntikan vaksin setakat ini kecuali mereka yang menerima pengesahan doktor atas faktor kesihatan.

“Kita memang galakkan semua anggota dan pegawai polis ambil suntikan dos penggalak kerana ia boleh menjadi antibodi yang kuat untuk melawan virus Covid-19.

“Setakat ini, kira-kira 7.59 peratus pihak polis sudah menerima dos penggalak manakala 92.41 peratus masih menunggu giliran.

“Tiada sebarang permohonan untuk mempercepatkan pemberian dos penggalak kepada pihak polis dilakukan semua penerimaan dibuat mengikut aturan, tiada yang potong queue (barisan),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan serta bakul makanan kepada golongan asnaf dan pesara polis di Pangkalan Polis Marin Batu Uban di sini, hari ini.

Seramai 40 individu yang terdiri daripada sembilan asnaf, balu (2), mualaf (9) serta pesara polis (20) menerima bantuan daripada Tabung Wakalah Zakat PDRM.

Tabung Wakalah Zakat PDRM merupakan sebahagian pengembalian semula wang zakat daripada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hasil daripada bayaran zakat PDRM melalui kaedah Potongan Zakat Bulanan secara potongan gaji. – MalaysiaGazette