Seramai 112 jemaah termasuk ahli keluarga mangsa keganasan di wilayah bergolak di selatan Thailand menerima tajaan untuk menunaikan ibadah umrah, selepas tertangguh hampir dua tahun susulan penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia.- Gambar hiasan.

NARATHIWAT (Selatan Thailand) – Seramai 112 jemaah termasuk ahli keluarga mangsa keganasan di wilayah bergolak di selatan Thailand menerima tajaan untuk menunaikan ibadah umrah, selepas tertangguh hampir dua tahun susulan penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia.

Pada tahun ini, Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) menaja 112 jemaah dari Yala, Pattani dan Narathiwat dan empat lagi daerah dari Songkhla untuk mengerjakan umrah.

Setiausaha Agung SBPAC Somkiat Polprayoon berkata wakil media, pegawai yang berkhidmat kepada masyarakat dan fakir miskin yang berakhlak mulia juga dipilih untuk menunaikan umrah.

“Kumpulan ini merupakan kumpulan pertama berpeluang menunaikan ibadah umrah selepas Arab Saudi memberi kebenaran pada Oktober lalu selepas hampir dua tahun menutup pintu sempadan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Narathiwat hari ini.

Beliau berkata kumpulan pertama seramai 55 jemaah berlepas pada Ahad dan 57 lagi berlepas hari ini di Lapangan Terbang Narathiwat.

“Semua jemaah telah mempersiapkan diri dengan menghadiri kursus untuk menjalani ibadah dalam norma baharu dan prosedur operasi standard yang ditetapkan,” katanya.- BERNAMA