Senior Minister of Education Datuk Radzi Jidin teachers students school Covid-19 vaccine
Datuk Radzi Jidin

KUALA LUMPUR – Purata kehadiran murid ke sekolah sejak sesi persekolahan dibuka pada 3 Oktober lepas sehingga semalam melebihi 85 peratus.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ketika ini, sebanyak 10,060 sekolah sedang beroperasi di seluruh negara yang membabitkan lebih 4.38 juta murid.

“Keadaan ini menunjukkan bahawa pembukaan semula sekolah secara umumnya diterima baik oleh ibu bapa dan murid.

“Pembukaan semula sekolah secara bersemuka juga membolehkan guru mengenal pasti tahap penguasaan murid dan melaksanakan intervensi yang bersesuaian.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa komited untuk terus memastikan pengoperasian sekolah secara bersemuka berjalan dengan teratur dan selamat,” katanya pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman (Pas) yang bertanya mengenai perkembangan terkini pengoperasian sekolah di seluruh negara sejak pembukaan secara berperingkat pada 3 Oktober lalu dan bagaimana penerimaan guru, murid serta ibu bapa secara umumnya mengenai pembukaan sekolah.

Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, KPM sentiasa memantau keadaan semasa pengoperasian sekolah secara bersemuka.

Secara keseluruhan, katanya, bilangan sekolah yang sedang beroperasi ialah sebanyak 10,060 buah melibatkan seramai 4,385,281 orang murid.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Abdul Latiff mengenai perancangan KPM untuk memansuhkan sistem penggiliran ke sekolah susulan kes jangkitan yang semakin menurun ketika ini, Mohd Radzi berkata, perkara itu sedang diteliti.

“Berkenaan soalan Yang Berhormat mengenai bilakah kita boleh kembali ke sekolah tanpa penggiliran, perkara itu sedang kita teliti meliputi semua aspek sama ada kebaikan dan keburukan,” ujarnya. – MalaysiaGazette