RT Rajasekaran

KUALA LUMPUR – RT Rajasekaran dilantik sebagai Setiausaha Agung MIC yang baharu berkuatkuasa serta merta mulai semalam.

Lantikan baharu itu dimaklumkan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran sambil menyifatkan ia amat bersesuaian berikutan kelantangan serta keprihatinan Rajasekaran dalam perjuangan masyarakat India selama ini.

“Saya berharap lantikan ini sebagai satu tanggungjawab yang berat dan akan memikulnya sebaik mungkin demi amanat kepada parti serta rakyat. Tahniah kepada beliau dan semoga ianya dipikul dengan baik sekali,” katanya.

Rajasekaran menggantikan Datuk M. Asojan yang baharu sahaja menang jawatan Naib Presiden MIC Jumaat lepas bagi penggal 2021-2024.

Untuk makluman, Rajasekaran pernah memegang pelbagai jawatan parti termasuklah Pengerusi Biro Bantuan Guaman MIC Kebangsaan, Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC (CWC), Panel Lembaga Displin MIC, Penyelaras Khas Dun Tangkak (N10) dan banyak lagi.

Rajasekaran juga bukanlah muka baharu malah sudah lama menjadi aktivis dalam memperjuangkan pelbagai isu termasuklah isu GATCO, pernah mengendalikan kes beberapa ahli HINDRAF selain aktif menganjurkan program motivasi anti gasterism, anti buli dan anti narkotik di sekolah menengah seluruh negara.

Selain itu, beliau juga pernah menerbitkan buku undang-undang dwi bahasa bertajuk Neethi yang turut mendapat sambutan sebelum ini.

Graduan pengajian undang-undang Universiti Malaya dan Universiti of London ini juga aktif mengendalikan pelbagai kes perundangan termasuklah sivil, korporat dan jenayah selama hampir 27 tahun ini.

Dalam pada itu, Rajasekaran berkata, pelantikan itu disifatkan sebagai satu penghargaan kepada dirinya selama ini dan beliau berjanji akan memberikan yang terbaik dengan tekun dan berwibawa.

“Terima kasih atas ucapan tahniah yang diberikan kepada saya, jawatan adalah tanggungjawab yang berat bukan sahaja untuk parti, ahli-ahli sebaliknya masyarakat India yang menaruh harapan besar kepada MIC selama ini.

“Terima kasih kepada Presiden yang memberi kepercayaan. Saya akan berusaha sebaik mungkin dalam melaksanakan tugas dan amanat kepada parti serta rakyat,” ujarnya. -MalaysiaGazette