Ketua jurulatih, Bojan Hodak bersama pemain pasukan KL City FC menjulang piala selepas menewaskan pasukan JDT yang berkesudahan 2-0 pada Perlawanan Akhir TM Piala Malaysia 2021 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 30 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur City (KL City) FC membuktikan pasukan bajet kecil mampu menjulang Piala Malaysia apabila mengejutkan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Kemenangan itu menamatkan penantian 32 tahun skuad ‘Warga Kota’ untuk memenangi piala keagungan itu yang juga gelaran keempat mereka selepas kali terakhir memenanginya pada 1989.

Lebih manis, mereka juga meraih tiket ke Piala AFC musim depan selain mengesahkan kejuaraan tanpa sebarang kekalahan dalam kempen Piala Malaysia.

Malah JDT pula meneruskan ‘badi’ selaku juara bertahan Piala Malaysia apabila gagal mengekalkan trofi terbabit selepas 2019.

Sebelum ini, Pahang muncul juara bertahan terakhir yang berjaya mengekalkan trofi terbabit pada 2014 dan 2015.

Sementara itu, penjaga KL City, Kevin Mendoza Mendoza muncul wira apabila memastikan JDT pulang tanpa sebarang gol dengan menafikan banyak percubaan berbahaya.

Namun KL City yang sesekali membuat serangan pantas akhirnya terbalas apabila hantaran lintang J Partiban disudahkan oleh Zhafri Yahya pada minit ke-65 untuk gol pembukaan.

Impian barisan pemain Harimau Selatan untuk merapatkan kedudukan musnah apabila Farizal Marlias sekali lagi tertewas pada minit ke-74, kali ini menerusi jaringan voli kapten KL City, Paulo Josue.

Keputusan itu kekal hingga wisel penamat yang membolehkan KL City merangkul Piala Malaysia edisi ke-100. – MalaysiaGazette