Mohd Ridzuan (baju putih) meninjau harga sayur di Pasar Raya Sunshine Square di Bayan Baru di sini, hari ini.

GEORGE TOWN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang kini sedang mengumpul data daripada pihak pemborong dan pembekal bagi mendapatkan punca utama kenaikan harga sayur di negeri ini.

Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, pihaknya sudah mengeluarkan notis bagi mendapatkan maklumat tersebut untuk dihantar kepada pihak kementerian KPDNHEP di Putrajaya.

Mohd Ridzuan.

Jelasnya, sebanyak 100 pemeriksaan telah dilakukan di negeri ini dan 20 notis pengesahan maklumat barangan (NPBM) serta 10 notis bertulis (NB) dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Anti Percatutan (AKHAP) 2011 bagi mendapatkan harga sayur.

“Peniaga perlu mengemukakan maklum balas NPBM dan NB dalam tempoh dua hingga lima daripada tarikh penerimaan notis.

“Kenaikan harga sayur berlaku di semua negeri jadi kita kumpulkan maklumat untuk dihantar kepada pihak kementerian KPDNHEP di Putrajaya bagi mendapatkan satu keputusan.

“Kita akan cuba sedaya upaya dalam mendapatkan satu jalan penyelesaian terbaik untuk semua pihak berhubung isu kenaikan harga sayur ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pemeriksaan Ops Pasar (sayur-sayuran) di Pasar Awam Bayan Baru serta Pasar Raya Sunshine Square di sini, hari ini.

Mohd Ridzuan melihat tanda harga sayur di Pasar Awam Bayan Baru.

Menurut Mohd Ridzuan, berdasarkan tinjauan pihaknya mendapati berlaku kenaikan harga membabitkan beberapa jenis sayur-sayuran di negeri ini.

“Antara sayur yang naik harga adalah Kacang buncis iaitu kenaikan sebanyak 100 peratus dan diikuti dengan sayur kailan (42 peratus), kubis bunga dan terung bulat masing-masing naik 60 peratus.

“Bagaimanpun, ada sayur yang menunjukkan penurunan harga antaranya tomato, brokoli,timun, terung panjang dan cili hijau,” jelas beliau.

Mengulas mengenai dakwaan orang tengah kawal harga, Mohd Ridzuan berkata, pihaknya akan meneliti maklumat yang akan dikemukakan oleh pembekal bagi mengenal pasti dakwaan tersebut.

“Bila kita dapat maklumat daripada pembekal baru kita boleh tahu sama ada berlaku kenaikan harga serta harga yang ditawarkan patut atau tidak.

“Dari segi harga sayur di pasaraya lebih murah berbanding pasar awam ia disebabkan pasaraya dapatkan sayur dalam kuantiti banyak berbanding mereka (peniaga) yang merupakan peruncit kecil dan kita tidak menolak kemungkinan itu turut menjadi faktor kenaikan harga sayur di pasar awam.

“Kita ingin ingatkan kepada peniaga agar sentiasa patuh dan tidak mengaut keuntungan yang tidak munasabah bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan tegas daripada pihak kementerian,” tegas Mohd Ridzuan. – MalaysiaGazette