Ismail Sabri Yaakob unpredictable weather forecast monsoon surge
Ismail Sabri Yaakob

PUTRAJAYA – Kerajaan hari ini menegur syarikat pengeluar ais yang didapati menaikkan harga barangan itu, sebagiamana yang dilaporan media semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenaikan itu tidak patut kerana tarif air dan elektrik tidak dinaikkan oleh kerajaan.

“Harga ais tidak patut naik sebab tiada kenaikan tarif air dan elektrik, kita beri air dengan harga yang mudah di negara ini.

“Tidak ada sebab untuk naikkan harga, kalau kilang ais batu nak naikkan harga tidak ada sebab.

“Roti Gardenia kononnya, di mana gandum kita tidak tanam sendiri dan kita import gandum itu. Ini yang berikan kesan (kenaikan harga),” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan harga barangan di MyFarm Outlet Kasih, Presint 9, dekat sini pada Rabu.

Turut serta, Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Lantaran itu, Ismail Sabri mengarahkan agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat kajian terperinci mengenai kos pengeluaran untuk produk ais dan roti putih keluaran tempatan.

“Saya sudah arahkan KPDNHEP kerana kita tidak mahu dengar alasan tapi mereka kena buat kajian mengapa kos itu meningkat, kos import berapa dan harganya berapa dan sampai ke pelabuhan berapa, semua rantaian itu, saya minta KPDNHEP supaya membuat kajian secara terperinci.

“Saya tidak boleh kata harga gandum naik jadi kita naikkan harga, tidak boleh. Kita kena telus dengan harga di luar negara dan sampai kepada rakyat,” katanya lagi.

Semalam, media melaporkan syarikat bekalan ais akan menamatkan promosi untuk semua produk ais (ais kisar atau ais ketulan) bermula 1 Disember, bermakna pengeluar akan menaikkan harga sebanyak 50 sen sebungkus

Jurucakap syarikat memberitahu, pihaknya tiada pilihan kerana kilang pengeluar ais telah menaikkan harga, selain berlaku kenaikan kos penyelenggaraan lori, malah beg plastik yang digunakan untuk membungkus ais turut naik.

Sebelum ini, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL) memaklumkan akan menyemak semula harga bagi produk-produk keluarannya berkuat kuasa 1 Disember ini.

Menerusi satu kenyataan, Gardenia KL berkata, peningkatan ketara dalam kos pengeluaran dan bahan yang di luar kawalan mereka meletakkan syarikat itu dalam kedudukan sukar tanpa sebarang pilihan kecuali menyemak semula harga.

Selang tiga hari kemudian, KPDNHEP menyarankan syarikat pengeluar roti jenama itu menangguhkan dahulu hasrat untuk menaikkan harga produknya.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan bebanan pengguna yang terus terhimpit dengan situasi peningkatan harga barangan pada masa ini. – MalaysiaGazette