PUTRAJAYA – Terdapat 73 kes positif COVID-19 di Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya melibatkan dua guru dan 71 pelajar, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini.

Menerusi hantaran di laman Twitter miliknya, Khairy berkata kesemua yang dikesan positif itu adalah hasil saringan yang dilakukan terhadap 451 individu di sekolah itu yang terdiri daripada 13 guru, 437 pelajar dan seorang petugas sekolah.

Menurutnya, 65 pelajar yang positif telah dipindah ke di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

“Semua mereka (65) adalah kategori 1 dan 2A, all stable (semua stabil),” katanya mengenai perkembangan kes COVID-19 di sekolah itu.

Pesakit COVID-19 kategori 1 merujuk kepada mereka yang tiada bergejala langsung, kategori 2A mempunyai simptom ringan dan kategori 2B adalah bergejala ringan yang teruk dan akan dimasukkan ke PKRC.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin meninjau situasi COVID-19 di sekolah berasrama penuh (SPB) itu malam semalam, serta memaklumkan seramai 65 pelajar tingkatan satu dan dua Sekolah Seri Puteri itu positif COVID-19 dan ditempatkan di PKRC MAEPS.

Khairy berkata 242 orang kontak rapat kepada mereka yang positif kini dikuarantin, dengan pelajar yang menjadi kontak rapat dikuarantin di asrama sekolah berkenaan.

“Kementerian Kesihatan akan terus pantau keadaan kesihatan pesakit dan memberi rawatan yang terbaik,” katanya.

— BERNAMA