Mohd Khairuddin Othman

KUALA LUMPUR – Larangan Exco berkaitan sukan daripada parti pembangkang untuk terlibat dalam Hari Sukan Negara dibangkitkan di Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman menyifatkan situasi itu menunjukkan seolah-olah kerajaan Persekutuan mempolitikkan isu berkaitan belia.

“Bayangkan, dalam satu program pelancaran Hari Sukan Negara, saya hadir mesyuarat yang dipengerusikan Menteri (Belia dan Sukan) tiba-tiba keluar surat daripada Putrajaya mengatakan Exco pembangkang tidak boleh terlibat dalam Hari Sukan Negara.

“Keadaan ini yang memecahkan kita. Kalau sukan pun nak berpolitik, maka apa jadi dengan adik-adik kita yang ada potensi,” katanya dalam sidang DUN Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Imran Tamrin (BN-Sungai Panjang) tentang kesediaan kerajaan negeri Selangor supaya Penggerak Belia Selangor (PeBS) bergerak seiring dengan Jabatan Belia dan Sukan negeri itu di bawah kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut Khairuddin berkata, sebagai wakil  kerajaan negeri Selangor beliau sentiasa membuka pintu kerjasama dengan badan belia yang digerakkan di bawah kerajaan Persekutuan.

Namun ujarnya, Majlis Rundingan Belia perlu melibatkan peranan kerajaan negeri Selangor dalam rancangan dan perbincangan yang diadakan.

“Kita terbuka dalam isu belia ini. Dalam Perlembagaan Persekutuan pun tidak disebut sama ada ia terpisah kepada negeri dan persekutuan.

“Ia adalah masalah bersama. Saya sangat mengalu-alukan kerjasama hubungan kita dengan Jabatan Belia dan Sukan Selangor sangat baik. Kita mendukung program mereka, hadir dalam beberapa program mereka, tetapi saya suka menyebut bahawa kerajaan Selangor sama sekali tidak mempolitikkan isu belia ini. Kita cuba cari jalan yang terbaik untuk bersama-sama.

“Saya menghulurkan tangan kepada pembangkang di Selangor, membuka pintu dan bersedia duduk semeja dengan mana-mana majlis belia yang ditubuhkan dengan Akta Pertubuhan untuk kita sama-sama bekerja melalui visi dan misi sesuai dengan kerajaan negeri Selangor,” tambah beliau.-MalaysiaGazette