Luahan hati seorang abang yang dikongsi oleh pemilik akaun Pedoqpop di laman Twitter menarik perhatian Datuk Seri Hishammudin Hussein.

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memohon individu di sebalik ciapan yang mendakwa seorang anggota tentera dipukul di dalam sebuah kem supaya menghubunginya segera.

“Mohon individu di sebalik mesej ini untuk DM butiran lebih terperinci terus kepada saya/hubungi pejabat saya segera,” katanya dalam ciapan di laman Twitter pagi ini.

Beliau memberi jaminan kepada indvidu berkenaan supaya tidak risau kerana identitinya akan dirahsiakan.

Hishammuddin Hussein

Selain itu, Hishammuddin berkata, beliau juga telah mengarahkan timbalannya Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz supaya meneliti perkara tersebut secara peribadi.

“Jika sahih, tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Kenyataan Hishammuddin itu merujuk kepada ciapan pemilik akaun Pedoqpop yang mendedahkan pengakuan individu mendakwa abang kepada seorang anggota tentera di kem bujang sering dipukul oleh senior selain duit gajinya habis digunakan untuk membeli barang-barang keperluan 12 hingga 14 anggota yang lain.

Ciapan tersebut juga menyebut abang individu berkenaan telah menghubungi balai polis namun dinasihatkan supaya membuat aduan di kem terlebih dahulu dan beliau turut melahirkan kebimbangan tragedi yang menimpa Allahyarham Zulfarhan berulang. – MalaysiaGazette