Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi melawat gerai jualan pada Majlis Pelancaran Program Jualan Keluarga Malaysia di Dataran Perpustakaan Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 02 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memperluaskan Program Jualan Keluarga Malaysia ke seluruh 222 kawasan Parlimen, mulai 4 Disember ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Jualan Keluarga Malaysia yang menawarkan diskaun sehingga 30 peratus barang keperluan itu diharapkan dapat membantu rakyat ketika berdepan kenaikan harga barang di pasaran.

“Bukan setakat sini sahaja (Lembah Pantai) tapi semua kawasan Parlimen dan program seperti ini akan dilaksanakan di setiap kawasan 222 Parlimen secara dua kali sebulan.

“Saya tak nak kata harga berpatutan, harga murah daripada harga jualan ketika ini di luar (meningkat).

“Kalau kita lihat tadi ada sampai 50 peratus walaupun kebanyakannya lebih kurang 20 hingga 30 peratus, tapi ada yang sampai 50 peratus (diskaun),” katanya pada sidang media di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (kanan) bertanyakan sesuatu dengan penduduk semasa melawat gerai jualan pada Majlis Pelancaran Program Jualan Keluarga Malaysia di Dataran Perpustakaan Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 02 DISEMBER 2021.

Terdahulu Perdana Menteri mengunjungi gerai-gerai barang keperluan basah dan kering yang menyertai Jualan Keluarga Malaysia KPDNHEP di PPR Kerinchi.

Sebanyak 25 syarikat swasta dan dua agensi kerajaan mengambil bahagian dalam program jualan murah barang keperluan bagi membantu meringankan beban kira-kira 8,000 penduduk di Lembah Pantai.

“Hari ini kita lihat sebanyak 25 pemain industri yang berkaitan dengan runcit, barang basah seperti sayur, ikan, ayam dan sebagainya terlibat dengan memberikan pada harga yang murah.

“Sebagai contoh di Nekmat (Persatuan Nelayan Kebangsaan) tadi ikan sejuk beku biasa dijual RM10 satu pek, hari ini dua pek RM10. Maknanya kalau macam itu 50 peratus.

“Saya pun ada tanya pengunjung tadi penduduk di kawasan ini memang harganya murah 20 peratus ke atas.

“Saya kira ia dapat membantu rakyat di sekitar sini,” katanya.

Ismail Sabri juga berkata, Jualan Keluarga Malaysia akan dilaksanakan sehingga Februari tahun hadapan sebagai langkah untuk menurunkan harga barang yang melambung di pasaran ketika ini.

“Jualan ini disasarkan sehingga Februari 2022 dan itu kira akan lihat juga bergantung kepada keadaan situasi dari segi harga.

“Kalau harga dia berterusan tak turun, kita akan teruskan program ini, tapi kita berharap harga akan mula menurun apabila kita mengambil tindakan.

“Kita melambakkan ayam dan ikan di pasaran. Sayur-sayur tadi pun saya difahamkan kobis murah kerana diimport dari China.

“Kita terpaksa mengimport dari luar untuk memastikan bekalan melebihi atau mencukupi supaya harga dapat diturunkan,” jelasnya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan jualan itu akan diteruskan di seluruh negara sekiranya harga barang di pasaran masih tinggi dan membebankan rakyat.

“Perkara ini sedang dilakukan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI)

“Kalau harga barang menurun sebelum Februari 2022, jadi jualan murah ini tidak lagi diteruskan.

“Kalau harga masih lagi tidak turun, walaupun disasarkan sehingga Februari, jualan ini akan diteruskan.

“Yang penting kerajaan menyedari apa yang dialami oleh rakyat dan kita tidak membiarkan rakyat menanggung sengsara bersendirian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Ada pasar tani pun, harga barang tetap mahal. Tak tahulah apa peranan pasar tani ni. Patutnya pasar tani menjadi kartel supaya harga barang jadi murah.

Comments are closed.