Ng Sze Han
Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han pada sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam

KUALA LUMPUR – Persempadanan semula di Selangor wajar dilakukan supaya bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dapat ditambah, kata Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han.

Jelas beliau, ini kerana berlaku peningkatan pengundi sehingga melebihi 100,000 orang di beberapa kawasan DUN Selangor.

Jumlah ini ujar beliau, tidak seimbang dengan kawasan-kawasan yang lain.

“Di beberapa kawasan termasuk di DUN Kinrara, Kajang, Subang Jaya semua telah melebihi 100,000 pengundi. Ini adalah DUN sahaja bukan Parlimen. Dengan bilangan pengundi begitu banyak sebenarnya DUN-DUN begini pengundinya jauh lebih besar daripada Parlimen.

“Jadi pandangan saya adalah, ini tidak adil kepada pengundi kerana nilai undi lebih kurang sama sepatutnya dengan kawasan lain. Jadi tibalah masa kita mengkaji untuk menambah bilangan kerusi DUN di Selangor,” katanya menjawab soalan Elizabeth Wong (PKR-Bukit Lanjan).

Terdahulu, Elizabeth bertanyakan pendapatan Ng, adakah adil apabila mana-mana kerusi DUN di negeri itu melebihi 100,000.

Mengulas lanjut Ng yang juga ADUN Kinrara menjangkakan, pendaftaran secara automatik pemilih berusia 18 tahun ke atas yang berkuat kuasa 15 Disember ini juga akan meningkatkan lagi jumlah pengundi di kebanyakan kawasan di negeri berkenaan. -MalaysiaGazette