Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz. foto HAZROL ZAINAL, 21 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur boleh diibaratkan sebagai Kota London kerana terdapat banyak jalan dan bangunan yang menggunakan bahasa Inggeris.

Teguran itu dibuat oleh Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (BN-Padang Rengas) yang melihat bukan hanya jalan dan bangunan sebaliknya, kawasan taman perumahan juga banyak menggunakan bahasa Inggeris sejak kebelakangan.

Keadaan yang berlaku itu menimbulkan kehairanan kepada beliau kerana setiap suatu projek pembangunan perlu mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.

Ada orang kata terpaksa tukar nama dalam bahasa Inggeris kerana ia akan dapat menarik perhatian pembeli-pembeli yang mahu membeli bangunan atau rumah.

“Kadangkala tempat itu, walaupun ada nama dalam bahasa Melayu tapi ditukar kepada Bahasa Inggeris seperti Bangsar South.

“Saya rasa ‘south’ itu dalam bahasa Melayu adalah selatan. Apa salahnya kalau kita panggil Bangsar Selatan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 bagi Kementerian Wilayah Persekutuan di peringkat jawatankuasa.

Mengulas lanjut Nazri berkata, perkara paling utama untuk membeli sesebuah rumah atau bangunan adalah lokasinya dan bukannya nama.

Ujarnya, nama sesuatu tempat dikaitkan dengan identitinya dan harga rumah dikaitkan dengan lokasi.

Dengan memberikan contoh Kuala Lumpur misalnya adalah berasal dari perkataan ‘lumpur’ tetapi ia sudah dikenali sehingga ke peringkat antarabangsa, katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.