Prime Minister Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob special Aidilfitri aid civil servants retirees
Prime Minister Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) antara salah satu kementerian yang akan dipanggil dalam mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup yang akan bersidang semula, minggu hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, ia membolehkan kerajaan mengenalpasti punca kenaikan barang keperluan khususnya berkaitan pertanian akibat kebaikan kos pengangkutan.

“Saya sendiri akan mempengerusikan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara minggu depan.

“Setiap Kementerian yang berkaitan dengan harga barang akan dilibatkan. Pengangkutan juga merupakan punca kenaikan harga barang.

“Kita akan panggil MOT untuk membuat intervensi yang berkaitan dengan pengangkutan kerana produk-produk ini perlu diangkut oleh kenderaan,” katanya pada sidang media di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, di sini, hari ini.

Ismail Sabri juga tidak boleh menerima alasan yang diberikan oleh syarikat pengeluar ais batu kononnya kos harga tayar kenderaan menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga bekalan ais di pasaran.

“Tiada sebab nak naik kerana tarif elektrik tidak naik, tarif air pun tidak naik, tapi mereka kata pengangkutan, kononnya harga tayar mahal, mereka bukan tukar setiap hari, mungkin pakai 6 bulan baru tukar.

“Takkan tayar jadi isu hingga menyebabkan kenaikan harga barang.

“Semua kementerian akan dilibatkan, mana-mana pihak yang ada kaitan akan dilibatkan.

“Intervensi seterusnya selain daripada perbincangan harian oleh KPDNHEP dan MAFI, jawatankuasa ini akan menentukan lebih banyak lagi intervensi bukan sahaja jangka pendek tapi jangka panjang,” jelasnya.

Perdana Menteri juga mengulangi ketegasan beliau bahawa tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana peniaga yang menafikan harga barang di pasaran tanpa sebab munasabah.

KPDNHEP telah pun mengarahkan 2,200 penguatkuasanya untuk membuat pemantauan dan tindakan kepada peniaga yang menaikkan harga tanpa mempunyai sebab-sebab munasabah, mereka akan ambil tindakan.

“Tiada kompromi lagi, dalam keadaan orang susah, adalah tidak beretika kalau mengambil kesempatan dengan menaikkan harga.

“Saya harap mereka ini tidak lagi diberi kompromi dan diambil tindakan yang tegas kepada mereka.

“Kita tahu memang ada peniaga yang tidak beretika mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette