Malaysia – Singapore Land Vaccinated Travel Lane (VTL) tickets
Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) Udara di KLIA.

KUALA LUMPUR – Pengembara dari atau mempunyai sejarah perjalanan dalam tempoh 14 hari dari 26 buah negara yang berisiko jangkitan varian Omicron tidak dibenarkan untuk menyertai Gelembung Pelancongan Langkawi (GPL).

Negara-negara itu ialah United Kingdom, Belgium, Portugal, Jepun, Belanda, Brazil, Australia, Norway, Kanada, Republik Czech, Korea Selatan, Perancis /Reunion Island, Hong Kong, China, Austria, Israel, Sepanyol, Itali, Arab Saudi, Jerman, Ghana, Denmark, Republik Ireland, Sweden, UAE, Nigeria, Amerika Syarikat (California).

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, senarai ini dikemaskini setiap hari dan boleh diakses di laman sesawang KKM.

“Setakat 2 Disember 2021, sekatan perjalanan sementara penerbangan terus atau transit dari negara yang melaporkan penularan Omicron atau negara yang berisiko tinggi berlaku penularan VOC Omicron masih lagi berkuatkuasa iaitu negara Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sementara itu, bagi penduduk Langkawi (warganegara dan pemegang pas lawatan panjang) dari negara-negara yang disenaraikan atau mempunyai sejarah perjalanan ke negara-negara tersebut dalam tempoh 14 hari, mereka perlu melalui pintu masuk antarabangsa KLIA sahaja dan menjalani kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan ke Langkawi.

Penerbangan terus ke Langkawi tidak dibenarkan, tegas Dr Noor Hisham.

Pada masa yang sama, KKM juga sentiasa menjalankan penilaian risiko berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan bagi menentukan tahap risiko sesebuah negara itu sebelum dibenarkan menyertai Gelembung Pelancongan Langkawi.

Antara kriteria yang diambil kira adalah insiden Covid-19 dan liputan imunisasi di negara-negara tersebut.

KKM juga menyenaraikan negara-negara yang berisiko tinggi tetapi tidak melaporkan kes VOC Omicron.

Negara-negara tersebut ialah Rusia, Georgia, Poland, Ukraine, Romania, Slovakia, North Macedonia, Guernsey, Croatia; French Guiana (AS); Filipina, Libya, Jordan, Bangladesh, Angola, Botswana, Eswatini, Lesotho, Malawi, Mozambique, Namibia, Afrika Selatan, Zambia dan Zimbabwe,

Pengembara dari negara yang disenaraikan di atas atau mempunyai sejarah perjalanan ke negara-negara tersebut dalam tempoh 14 hari, tidak dibenarkan menyertai GPL. – MalaysiaGazette