Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail sabri Yaakob mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-79 secara persidangan video semalam.

KUALA LUMPUR – Semua kerajaan negeri diarah melaksanakan tindakan penguatkuasaan dan penyelesaian terhadap penerokaan haram dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) selewat-lewatnya 1 Jun tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-79 yang berlangsung menerusi persidangan video semalam.

Ia dibuat MTN menerusi Tindakan Penguatkuasaan dan Penyelesaian Terhadap Penerokaan Haram dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Semenanjung Malaysia.

Mesyuarat yang dipengerusikan beliau itu disertai 10 wakil kerajaan Persekutuan terdiri daripada menteri-menteri kanan serta menteri-menteri kerajaan Persekutuan yang berkaitan bersama menteri-menteri besar, ketua-ketua menteri atau wakilnya.

Menurut Perdana Menteri, mesyuarat MTN semalam juga bersetuju secara prinsip dengan pelaksanaan Moratorium Kelulusan Baharu Penubuhan Ladang Hutan dalam HSK di Semenanjung Malaysia selama 15 tahun.

“Dalam hal ini, MTN Ke-79 juga mengambil perhatian bahawa terdapat 127,050.25 hektar Zon Pembangunan Ladang Hutan dalam HSK yang belum diluluskan kepada mana-mana syarikat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, sebelum moratorium dikenakan ke atas kawasan tersebut, kerajaan negeri yang ingin meneruskan pembangunan ladang hutan perlu melaksanakan perundingan secara terperinci dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

Katanya, ia bagi memastikan syarikat-syarikat yang akan dilantik mematuhi syarat yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi serta lain-lain perundangan yang berkuatkuasa.

Mengulas lanjut mengenai hasil mesyuarat semalam, Perdana Menteri berkata, MTN juga telah mengesahkan keputusan-keputusan Mesyuarat Majlis Mineral Pertama yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 16 Februari lalu.

Katanya, keputusan-keputusan itu perlu dibawa untuk persetujuan dan pengesahan MTN bagi membolehkanya dipersetujui dan disahkan khususnya yang melibatkan aspek perundangan seperti Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tanah Negara serta enakmen berkaitan di peringkat negeri.

Sementara itu, katanya, kerajaan akan membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2020 bagi Seksyen 11 dan 12 di Parlimen pada sesi pertama persidangan Dewan Rakyat tahun depan.

Perdana Menteri, RUU tersebut telah diluluskan oleh Jabatan Peguam Negara tahun lepas dan jemaah menteri pada 6 Januari tahun ini.

“Dalam konteks ini pemakaian Rang Undang-undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2020 hanya akan terpakai di negeri-negeri setelah Dewan Undangan Negeri (DUN) meminda Enakmen Perhutanan (Pemakaian) masing-masing,” katanya.

Mesyuarat MTN itu diadakan selaras dengan Perkara 91(5) Perlembagaan Persekutuan iaitu membentuk dari semasa ke semasa, melalui konsultasi (rundingan) dengan Kerajaan Persekutuan, kerajaan-kerajaan negeri dan Majlis Kewangan Negara.

Jelasnya, ia merupakan suatu dasar negara untuk memajukan dan mengawal penggunaan tanah di seluruh Persekutuan bagi maksud perlombongan, pertanian, perhutanan atau apa-apa maksud lain dan untuk mentadbirkan apa-apa undang-undang mengenainya.

Katanya lagi, terdapat empat kertas telah dibentangkan pada mesyuarat kali ini yang menyentuh mengenai beberapa dasar penting berkaitan dengan perhutanan dan perlombongan. – MalaysiaGazette