Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meraikan kemenangan besar BN Melaka.

KUALA LUMPUR – Kejayaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan meraih 21 daripada 28 Dewan Undangan Negeri (DUN), bukanlah kemenangan signifikan kerana kadar keluar mengundi hanya 61 peratus.

Pengarah Komunikasi Penggerak Komuniti Negara (PKN) Negeri Sembilan, Mustafa Kamal Abdul Rahman berkata, peratusan keluar mengundi itu jika dikaji secara terperinci telah didominasi blok pengundi BN yang dikategorikan sebagai ‘undi putih’.

“Setiap DUN atau Parlimen mempunyai antara 30 hingga 35 peratus undi putih milik BN daripada keseluruhan jumlah pemilih sesuatu institusi DUN.

“BN berjaya memanipulasi situasi iaitu kebimbangan pengundi untuk keluar kerana wabak Covid-19 dan tidak ramai pengundi saluran muda (saluran 4,5,6,7) yang keluar mengundi berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Maka tidak hairan dua keadaan tersebut memberi kelebihan besar buat BN mendominasi kebanyakan DUN walaupun ada 12 DUN yang dimenangi hanya dengan majoriti kecil,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Beliau tidak menafikan langkah BN menggerakkan ‘marking & targeting voters’ seminggu sebelum hari mengundi berjaya memberi kelebihan kepada blok parti itu untuk menang bergaya dengan dua pertiga, 20 November lalu.

Dedahnya, semasa hari mengundi, BN telah membawa keluar 56 hingga 68 peratus blok undi putih mereka yang ada di setiap DUN.

“Akan tetapi masih ada beberapa DUN kadar keluar undi putih BN tidak mencapai tahap menyelamatkan undi calon BN. Itu yang terjadi di Bukit Katil, Bemban dan Serkam. Cuma di Serkam calon BN memenangi saingan dengan majoriti tipis dengan 79 undi.

“Walaupun menang 21 DUN, BN hanya menang selesa di lima DUN dengan majoriti melebihi 2,000 undi. Manakala empat DUN lagi dimenangi dengan majoriti bawah 2,000 undi iaitu Kuala Linggi (1,836), Taboh Naning (1,825), Rim (1,327) dan Sungai Rambai (1,027).

“BN hanya menambah dua DUN untuk menang selesa berbanding PRU14 lalu. Dalam PRU14 lalu, BN menang selesa majoriti melebihi 2,000 undi di Tanjung Bidara, Serkam dan Sungai Udang, bagaimanapun kali ini menang selesa di Merlimau (3,248), Lendu (3,104), Asahan (2,993), Ayer Molek (2,802) dan Telok Mas (2,076).

Katanya, lebih mengejutkan apabila dua kubu kuat UMNO sejak empat PRU lalu iaitu Tanjung Bidara dan Sungai Udang telah berjaya ditembusi oleh Perikatan Nasional (PN).

“Tanjung Bidara pada awalnya telah didahului oleh calon PN, Datuk Mas Ermiyanti Samsudin, namun pada saat akhir BN memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 300 lebih sahaja. Ia mencatatkan kemerosotan mendadak majoriti kemenangan PRU14.

“Manakala Sungai Udang yang tidak pernah tergugat sejak PRU11 (2004) akhirnya ditawan oleh calon Bersatu-PN walaupun dimenangi dengan majoriti 500 lebih. Menariknya, undi awal tentera (Kem Terendak, Kem Masjid Tanah) telah memihak kepada PN,” katanya.

Dakwanya, kepantasan sebaran maklumat maya turut mendedahkan kaedah UMNO-BN meraih undi dan melaksanakan gerakan membawa keluar undi putih mereka.

“Secara langsung taktikal BN itu mampu dibaca seterusnya oleh pesaing-pesaing utama mereka.

“Seandainya kadar keluar mengundi PRN Melaka melebihi 61 peratus dan mencapai sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu 75 peratus, mungkin cerita berbeza akan terjadi.

“Kemungkinan besar komponen BN iaitu MCA dan MIC tidak akan menang di Klebang, Gadek dan Machap Jaya.

“UMNO juga akan memenangi kurang 10 kerusi DUN jika dinilai kepada situasi 12 DUN yang dimenangi bawah majoriti 1,000 undi,” katanya.

Kebergantungan BN kepada blok undi putih dengan kadar keluar mengundi bawah 61 peratus yang membantu lonjakan kemenangan bergaya yang tidak signifikan itu.

“Betapa pentingnya undi saluran muda iaitu saluran 4 hingga 7 bagi mengimbangi serta menjadi penentu bermakna (signifikan) kepada pesta demokrasi seterusnya.

“Ia umpama nisbah 10 melawan satu, maka sudah pastilah yang 10 akan mendominasi situasi,” katanya.

Katanya lagi, PRN Melaka kali ini turut membuktikan gabungan kekuatan komponen PN khususnya Pas dan Bersatu memperlihatkan peningkatan undi popular mereka berbanding PRU14.

“Keberadaan Pas dalam PN telah terbukti melalui peningkatan undi popular mereka di tujuh daripada lapan DUN ditandingi,” katanya.

Pas kuat apabila berada dalam gabungan utama yang menjadi sebahagian komponen Kerajaan Persekutuan, malah peningkatan undi popular antara 34 hingga 75 peratus di tujuh DUN itu mengesahkan pengundi meyakini keberadaan Pas bersama PN.

“Saingan di Serkam adalah contoh dramatik peningkatan undi popular Pas daripada 3,423 undi (PRU14) meningkat kepada 4,959 undi pada PRN Melaka. Ia menokok 45 peratus. Calon Pas hanya tewas 79 undi majoriti kepada calon BN.

“Bersatu pula kekal menang dua kerusi tetapi bertukar kedudukan. Semasa PRU14, Bersatu menang di Paya Rumput dan Telok Mas tetapi kini mereka telah menang di kubu kuat UMNO iaitu Sungai Udang dan kubu kuat DAP-PH iaitu Bemban. Ia juga catatan dramatik politik yang tidak diduga oleh BN.

“Tanpa ragu-ragu, jentera BN memainkan sentimen bahawa PN tidak akan menang satu kerusi pun namun hakikatnya Bersatu berjaya menyumbang kemenangan pertama untuk PN di Melaka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette