Dari kiri, Pengarah Arch Capital, KC Wong, Shazad Chohan dan Hartini Osman menunjukkan dokumen yang ditandatangani dalam majlis MoU di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Serendah Jungle Retreat and Wellness Spa Resort sebuah projek eko-resort mewah akan dibangunkan di atas tanah milik Permodalan YBK Sdn. Bhd. (PYBK) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM300 juta.

Pengarah Seri Mendapat Projek Management Sdn. Bhd. (SMPM), Datin Hartini Osman berkata, syarikat itu telah diberi kuasa oleh PYBK untuk membangunkan tanah di Bukit Tasik Serendah seluas 1,600 ekar.

SMPM adalah sebuah syarikat yang terlibat dalam pembangunan hartanah tempatan.

Menurutnya, fokus utama projek ini untuk mewujudkan pusat percutian mewah untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Projek ini melibatkan pembangunan eco incubator hub, eco garden, perkampungan budaya, lokasi perkhemahan, resort dan tree house,” katanya pada majlis memorandum persefahaman antara SMPM serta United Capital Property Investment (Cyprus) Limited dan Arch Capital Sdn. Bhd.

Pengerusi Kumpulan United Capital Property Investment (Cyprus) Limited, Shazad Chohan berkata, firma itu akan membiayai projek tersebut.

Projek yang membabitkan tiga fasa itu dijangka dimulakan pada suku kedua tahun depan dan mengambil masa 36 bulan untuk disiapkan sebelum meneruskan fasa kedua yang melibatkan projek pembinaan resort yang memakan masa dua tahun.

Bagi fasa pertama ia melibatkan projek bernilai komersial seperti taman air, chalet, canon walk yang membabitkan pelaburan sebanyak RM50 juta.

Hartini berkata, pihaknya berhati-hati dalam membangunkan projek berkenaan kerana mahu memastikan keaslian alam sekitar kawasan berkenaan dipelihara kerana ia merupakan nilai komersial yang tinggi bagi projek tersebut. – MalaysiaGazette