Idris Ahmad.

KEPALA BATAS – Pas masih membisu soal jumlah kerusi yang akan dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak meskipun hari penamaan calon berbaki dua hari.

Ia susulan Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad enggan mengulas ketika diminta mengulas mengenai jumlah keseluruhan kerusi yang ditandingi Pas pada PRN Sarawak.

“Tunggu hari penamaan calon kita tengok Pas bertanding berapa kerusi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Wakaf Short Stay (SSU) di Hospital Kepala Batas di sini, hari ini.

SSU dibina susulan peningkatan bilangan pesakit Covid-19 di Pulau Pinang, sekali gus menyebabkan kapasiti Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kepala Batas tidak mampu menampung jumlah pesakit.

SSU siap dibina pada 27 Oktober lalu dengan kerjasama antara Hospital Kepala Batas bersama lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada Muslim Care Malaysia Society, Khidmat Malaysia, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysiadan Ummah dan Yayasan Amal Malaysia.

Sebelum ini, media melaporkan keputusan Pas bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak adalah untuk dijadikan medan pengukur gerak kerja jentera Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Presidennya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, keputusan Pas bertanding dalam PRN Sarawak bukan untuk menentang Gabungan Parti Sarawak (GPS), tetapi lebih kepada mengukur gerak kerja Pas.

“Jumlah kerusi masih diteliti tetapi tidak besar seperti PRN Sarawak sebelum ini yang berjumlah 11 kerusi, mungkin beberapa kerusi sahaja,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Disember sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak, dan hari penamaan calon pada 6 Disember, manakala hari pengundian awal pada 14 Disember. – MalaysiaGazette