Antara bahan bukti kes kematian seorang kanak-kanak dipercayai akibat didera ibu dan kekasih wanita berkenaan.
JOHOR BAHRU – Seorang ibu dan kekasihnya yang disyaki mendera anak kandung berusia lima tahun hingga meninggal dunia di Nusa Bestari, Iskandar Puteri Johor Bahru Johor kelmarin direman seminggu, sehingga Jumaat.Wanita itu ditahan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru manakala teman lelakinya diberkas di kediaman mereka di Nusa Bestari.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tiada tangkapan lain dilakukan buat masa ini.

Kedua-dua suspek berusia 32 dan 35 tahun.

“Kita tangkap terus suspek dan dieman tujuh hari sehingga 10 Disember. Mayat mangsa masih di forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA). Suspek pernah banyak kali berkahwin tetapi tidak berdaftar dan mempunyai lapan orang anak,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen ( IPK) Johor di sini hari ini.

Mangsa mengalami kecederaan di mulut dan lebam pada bahagian depan serta belakang tubuh dipercayai akibat didera.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, polis menerima makluman pada jam 12.20 tengah hari (3 Disember) daripada petugas HSA mengenai kematian seorang kanak-kanak lelaki dengan kesan lebam yang mencurigakan.

Pemeriksaan kemudiannya mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian mulut dan lebam di bahagian depan serta belakang badan yang dipercayai akibat didera.

Siasatan awal mendapati mangsa tinggal serumah dengan kedua-dua suspek bersama seorang adik dan kakaknya. – MalaysiaGazette