Rata-rata penduduk Pulau Pinang mahu kerajaan menjadikan Jualan Keluarga Rakyat sebagai satu program mingguan selain menambah bilangan lokasi penjualannya.

KEPALA BATAS – Rata-rata penduduk Pulau Pinang mahu kerajaan menjadikan Jualan Keluarga Rakyat sebagai satu program mingguan selain menambah bilangan lokasi penjualannya.

Seorang suri rumah, Salmah Hamid, 67, berkata, program jualan itu ternyata membantu mereka khususnya yang terdiri daripada golongan isi rumah pendapatan rendah (B40).

Salmah.

Jelasnya, harga yang ditawarkan pada jualan itu jauh lebih murah berbanding harga pasaran sekali gus menjimatkan perbelanjaan keluarganya.

Tambahan pula dalam situasi harga barangan mahal pada ketika ini.

“Saya datang dari Bukit Mertajam seawal pukul 7 pagi untuk membeli barang keperluan asas seperti beras, telur, ayam dan lain-lain.

“Program ini sangat baik dan diharapkan dapat diteruskan dari semasa ke semasa dalam membantu rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pada Program Jualan Keluarga Malaysia di pekarangan Wisma UMNO Parlimen Kepala Batas di sini hari ini.

Sementara itu, seorang warga emas, Ishak Hussin, 70, berkata, keprihatinan kerajaan terhadap rakyat yang terkesan akibat kenaikan harga dapat dilihat menerusi inisiatif program Jualan Keluarga Rakyat.

Ishak.

“Elok sangat buat program macam ini, kalau boleh buat setiap minggu sebab harga barang sekarang makin naik.

“Kalau kerajaan bantu rakyat macam ini, rakyat pun suka lebih-lebih lagi golongan orang kelainan upaya (OKU) seperti saya,” ujarnya yang merupakan peniaga ulam di Pasar Permatang Manggis.

Turut meluahkan pandangan sama, pensyarah kolej swasta, Khairul Nizan Abdul Kadir, 41, yang berpendapat kerajaan perlu memperbanyakkan lokasi jualan agar dapat meringgankan rakyat yang terkesan di seluruh pelusuk Malaysia.

Khairul Nizan.

“Harap pada masa akan datang program jualan ini lebih tersusun kerana kita dapat lihat hari ini orang ramai serbu sini bagi mendapatkan barang keperluan namun terpaksa beratur panjang dan lama.

“Selain itu, kami juga berharap lebih banyak barang ditawarkan menerusi jualan ini,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 3,000 penduduk sekitar Pulau Pinang membanjiri program  Jualan Keluarga Malaysia yang bermula jam 8 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Antara barangan yang dijual ayam seekor RM5; sekilo daging lembu tempatan (RM30); 5 kg beras (RM10); sepapan telur gred C (RM8) serta jualan kombo dua kilo minyak masak bersama sekilo tepung gandum (RM4). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast