IMBAS KEMBALI. Reaksi kecewa pemain JDT selepas ditewaskan KL City FC yang berkesudahan 2-0 pada Perlawanan Akhir TM Piala Malaysia 2021 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 30 NOVEMBER 2021.

JOHOR BAHRU – Rakyat Johor tetap berbangga dengan  pencapaian pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) walaupun gagal mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi lapan tahun berturut-turut.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, walau tewas  kepada Kuala Lumpur City (KL City),  beliau yakin rakyat di negeri itu boleh menerima adat permainan dalam sukan yang kalah dan menang.

“Tapi kita orang Johor tetap berbangga dengan JDT, ia tetap menjadi satu pasukan yang ulung dalam negara, selalunya bila JDT main, satu negara akan sokong yang lawan JDT.

“Jadi kita bukan lawan KL City tapi kita lawan Malaysia,” katanya berseloroh ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kebun Bandar di pekarangan Masjid Taman Impian Emas di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hasni dalam nada sinis juga menegur seorang menteri besar (MB) yang ‘bising-bising’ mengenai kekalahan JDT baru-baru ini.

“Walaupun tidak berjaya, ada MB seorang itu tidak perlulah nak bising-bising. JDT ini tidak terasa apa pun kerana bola itu bulat, boleh menang dan boleh kalah.

“Tapi tidak perlulah si polan itu nak berbesar hati kerana JDT tidak berjaya dalam perlawanan akhir Piala Malaysia baru-baru ini,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mencuri tumpuan orang ramai apabila video pantunnya berkenaan kekalahan JDT dalam final Piala Malaysia tular dalam media sosial secara seloroh berpantun mengenai piala Malaysia itu.-MalaysiaGazette