Pasangan suami isteri, Ridhuan Remly dan Siti Nor Azimah Sabaruddin dari Fakulti Pengajian Islam menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia ke-49 di Bangi, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 DISEMBER 2021.

BANGI – “Walaupun kami belum dikurniakan zuriat namun sebenarnya kami sudah ada ‘anak-anak syurga’ yang menanti kami di sana.”

Itu kegembiraan berbaur kesedihan Siti Nor Azimah Sabaruddin mengenang penderitaannya selepas keguguran sebanyak tujuh kali termasuk terbaharu pada Mei lalu sepanjang menyambung pelajaran peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Hari ini, Azimah dan suaminya, Ridhuan Remly berjaya mengenggam PhD ketika ditemui selepas Sidang Kesembilan Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-49 di sini hari ini.

Meskipun ‘kehilangan’ tujuh anak  namun mereka reda dan cekal menghadapi segala dugaan.

Ridhuan dan Siti Nor Azimah masing-masing berusia 35 tahun merupakan pelajar Fakulti Pengajian Islam UKM.

Menurut Azimah yang merupakan seorang pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dengkil, walaupun keguguran dialami sebelum ini menjejaskan  kesihatannya namun beliau tekad meneruskan pengajiannya.

Siti Nor Azimah Sabaruddin yang menerima Doktor Falsafah (PhD) dalam Fakulti Pengajian Islam pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia ke-49 di Bangi, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 DISEMBER 2021.

Malah beliau sanggup membawa komputer riba ke dalam wad bagi menyiapkan penulisan tesis.

Malah beliau dan suami berterima kasih atas usaha Kementerian Pengajian Tinggi yang memberi tajaan biasiswa selama tiga tahun melalui program MyBrain15.

Selain itu, Pusat Zakat UKM juga memudahkan urusan dengan bantuan kewangan yang disalurkan untuk beberapa semester.

Menceritakan pengalaman melengkapkan ijazah ini, Ridhuan yang merupakan penyelidik di UiTM tidak menafikan ia memerlukan komitmen yang tinggi.

Ridhuan Remly yang menerima Doktor Falsafah (PhD) dalam Fakulti Pengajian Islam pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia ke-49 di Bangi, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 DISEMBER 2021.

Malah beliau pernah beberapa kali bermalam di perpustakaan dan dan di dalam kereta sepanjang mengejar impiannya.

“Bila saya dan isteri buat PhD sekali, fokus kami hanya study sahaja. Hujung minggu tiada masa pergi berjalan. Hujung minggu dan cuti kami datang UKM, sampai ada tidur kat library Tun Sri Lanang, tidur dalam kereta, makan bungkus tepi jalan. Itu semua rutin kami hujung minggu.

“Alhamdulillah, Perpustakaan Tun Sri Lanang  sangat membantu, ada surau, ada semua kelengkapan yang cukup selesa,” katanya.

Sementara itu, Azimah  besyukur kerana mendapat pasangan yang berkongsi matlamat sama dengan mengikut jejak langkah suaminya setahun kemudian selepas Ridhuan mendaftar PhD pada tahun 2014.

Justeru pasangan itu menasihatkan pelajar yang masih berjuang dalam dunia akademik supaya terus merancang persiapan awal daripada segala sudut supaya kejayaan yang sama dapat diraih. – MalaysiaGazette