SPR
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang bermula hari ini menyaksikan 349 calon layak bertanding.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Gabungan Parti Sarawak (GPS) meletakkan calon di semua kerusi Dewan Undangan Negeri sementara Parti Bumi kenyalang (PBK) dengan 73 kerusi.

“Parti Sarawak Bersatu (PSB) 70, PKR 28, DAP 26, Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) 15, Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) 11, Parti Amanah Negara (Amanah) 8, Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR) 5 dan Pas satu kerusi,” kata SPR dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, sejumlah 30 calon bebas bertanding di PRN Sarawak kali ke 12 kali ini.

PRN Sarawak kali ini menyaksikan pertembungan lebih dua penjuru dengan lapan penjuru di DUN Dudong, tujuh kerusi 6 penjuru, 24 kerusi dengan lima penjuru, 33 kerusi dengan empat penjuru, 13 kerusi pertembungan tiga penjuru dan empat kerusi dengan dua penjuru.

Daripada 349 calon itu, 304 adalah calon lelaki dan 45 wanita dengan calon tertua adalah di DUN Bawang Assan yang berusia 79 tahun.

Calon termuda bagi PRN Sarawak kali ini adalah di kerusi DUN batu Lintang dan DUN Nangka iaitu berusia 24 tahun.

Sepanjang tempoh penanmaan calon jam 9 pagi tadi, dua kertas pencalonan ditolak SPR iaitu di DUN Jemoreng melibatkan calon PBK dan DUN Senadin iaitu calon bebas.

Semalam, SPR mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) Pencegahan Covid-19 yang hanya membenarkan penganjuran ceramah secara fizikal di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak mencapai jaringan internet sahaja.

Menurut SPR, terdapat 64 DUN yang dikenal pasti mempunyai kadar liputan 4G yang rendah di kawasan berpenduduk.

Menerusi SOP tersebut, SPR berkata penganjur, urus setia, calon serta penceramah perlu membuat kit ujian pantas (RTK) kendiri sebelum mengadakan ceramah. – MalaysiaGazette