Fenomena air pasang yang berlaku di Kampung  Sungai Stulang Laut di sini mengakibatkan 4 buah keluarga ditempatkan di PPS PULAPEM.

BATU PAHAT – Fenomena air pasang besar yang melanda di beberapa kawasan di daerah ini menyebabkan beberapa keluarga di sekitar Kampung Sungai Kluang Laut dipindahkan ke Pusat Latihan Pemimpin Muda (PULAPEM).

Menurut pensuduk Azri Adam,41, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10 pagi tadi mengakibatkan beberapa kediaman di kawasan itu ditenggelami air paras sedalam 3.3 meter.

Katanya, keadaan fenomena air pasang berlaku terlalu pantas menyebabkan dia hanya mampu menyelamatkan apa yang sempat.

” Kejadian berlaku awal pagi terlalu pantas, tidak seperti semalam. Air pasang kali kedua ni nampak paling teruk.

“Saya sudah tinggal sini 20 tahun dan kejadian ini paling teruk,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Kluang Laut di sini.

Seramai 25 orang melibatkan empat buah keluarga masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di PULAPEM.

Seorang lagi penduduk Mohammad Mustaffa Muhdir,38 memberitahu, kejadian pada tahun ini merupakan keadaan terburuk yang pernah dialami mereka berbanding sebelum ini.

Mohammad Mustaffa

Beliau berkata, dia dan keluarga hanya sempat menyelamatkan dokumen peribadi penting.

Manakala, barang keperluan lain kata Mustaffa rosak teruk.

Ketika kejadian hanya isteri dan anaknya  berada di rumah.

“Semalam hanya paras-paras lutut, hari ini paras tingkap rumah.

“Barang-barang mana yang boleh diselamatkan kita selamatkan, yang lain-lain macam katil semua memang habislah,” katanya.

Selain itu menurut penduduk keaadaan menjadi lebih buruk apabila benteng utama di kawasan berkenaan juga dikatakan pecah

Sementara itu, tinjauan di Dataran Tanjung Emas dekat Muar mendapati fenomena air pasang mula berlaku sekitar pukul 9.30 pagi dengan kedalaman 0.5 meter.

Orang ramai juga dilihat tidak melepaskan kesempatan menyaksikan fenomena berkenaan.

Senentara itu, Pegawai Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) Mejar Pertahanan Awam,Ahmad Aliuddin Mohd Amin menasihatkan orang ramai sentiasa peka dengan situasi terkini fenomena itu.

“Kita minta komuniti dan individu supaya berhati-hati dan jangan mengambil mudah dengan perkara melibatkan keselamatan di air.

“Kita mengharapkan cuaca baik dan kita nasihatkan orang ramai sentiasa untuk sentiasa berjaga-jaga terutama yang berada di air pasang besar dan perhatikan juga cuaca kerana ia memberi berisiko,” katanya ketika ditemui di Dataran Tanjung Emas,Muar di sini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast