Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad bercakap pada sidang media ketika menghadiri Majlis Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-38 Musim Haji di Menara Tabung Haji Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 06 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad mengakui sering ‘dihentam’ berhubung isu penjarakan saf  bagi solat jemaah di masjid dan surau.

Namun dalam nada berseloroh, beliau tidak mengambil hati mengenai situasi yang berlaku itu akibat kenyataan netizen di media sosial.

“Orang anggap (ini) salah menteri agama. Pagi, petang, siang, malam, subuh (sampai) dhuha orang hentam saya tapi saya steady sahaja. Saya sejuk di kepala, membara di dada.

“(Ini) sikit sahaja berbanding (zaman) nabi dahulu, kita ini manusia banyak kelemahan,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-38 Musim Haji 1443H di Menara Tabung Haji (TH) Jalan Tun Razak hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai isu penjarakan saf para jemaah ketika menunaikan solat di masjid dan surau.

Tegas Idris, keputusan solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal adalah di bawah bidang kuasa pihak agama di negeri-negeri.

“Sebenarnya semua negeri-negeri berusaha ke arah itu (solat tanpa penjarakan saf) dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang terdiri daripada kalangan mufti dan tokoh agamawan (memang) bincangkan bab itu.

“Bidang agama ini merupakan bidang pihak berkuasa agama negeri sebab itu di setiap negeri tidak sama. Untuk Kuala Lumpur sendiri kita solat berdasarkan kapasiti masjid (namun) sesetengah negeri masih lagi dihadkan 300, ada 500 (jemaah) ada sesetengah negeri 12 orang sahaja.

“Perkara itu kita kena hormat (kepada), tidak boleh langgar bidang kuasa (agama negeri),” ujarnya. – MalaysiaGazette