Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa komited berhubung isu kebolehpasaran graduan di negara ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, perkara itu sememangnya dalam perhatian dan pihaknya sering bekerjasama dengan pihak industri bagi menangani isu kebolehpasaran graduan di negara ini.

Katanya, pelbagai program dirangka termasuk menyediakan platform perkongsian input di peringkat strategik menerusi Majlis TVET Negara, Majlis Penasihat Industri, Government- Industry TVET Coordination Body (GIC) serta Pasukan Petugas Khas di bawah Majlis Pekerjaan Negara (NEC).

“Mewujudkan pelbagai program kolaborasi bersama pihak swasta termasuk program Industry@University selain menjalin kerjasama strategik bersama agensi berkepentingan dalam bidang keusahawanan seperti Tekun Nasional, Institut Keusahawanan Negara (Insken) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac).

“Antara program yang dilaksanakan ialah Program KPT-Medac: Siswapreneur dengan kerjasama Tekun Nasional yang juga program pembiayaan mikro khusus untuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dengan peruntukan sebanyak RM5 juta pada tahun ini.

“Terdahulu, KPT dan Medac melalui SME Corp melaksanakan program rintis TUBE@IPT dengan peruntukan sebanyak RM2.4 juta,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) yang meminta kementerian itu menyatakan usaha memperkasa graduan dengan pihak industri supaya kebolehpasaran graduan memenuhi keperluan tenaga mahir dan separuh mahir.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, KPT turut mengaktifkan semula Majlis Keusahawanan Pendidikan Tinggi Nasional (MKPTN) untuk membantu penetapan hala tuju agenda pemerkasaan keusahawanan di IPT dan membangunkan portal sehenti, Graduates Reference Hub for Employment and Training (GREaT) sebagai rujukan penuntut mendapatkan maklumat pekerjaan, keusahawanan, peluang melanjutkan pengajian, pembiayaan, latihan peningkatan kemahiran serta pelbagai tips kepada graduan.

“Untuk makluman ahli Yang Berhormat juga, di samping pembabitan bersama industri, KPT sentiasa berhubung rapat dengan pelbagai kementerian dan agensi bagi mendapatkan input berhubung kebolehpasaran graduan bagi menambah baik modul dan program akademik agar sejajar dengan keperluan guna tenaga negara dan memenuhi kehendak industri.

“Antara yang dilaksanakan ialah kajian yang dijalankan TalentCorp, jalinan kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk mendapatkan maklumat terkini berkenaan dengan pasaran buruh. Ini diperkukuhkan lagi dengan input daripada portal MyFutureJobs,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya turut bekerjasama dengan jabatan dan agensi seperti Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (Ilmia), Talentcorp, Malaysia Investment Development Authority (Mida) untuk menyemak secara berkala kandungan modul dan program akademik yang ditawarkan.

“KPT dalam Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021 – 2025 turut menekankan elemen pengukuhan kolaborasi dalam bidang pembangunan akademik serta kebolehpasaran graduan yang berimpak tinggi membabitkan pelbagai pihak berkepentingan.

“Ini digariskan dengan jelas di bawah strategi keempat dalam pelan ini yang secara spesifiknya memfokuskan kepada pemerkasaan hubungan industri,” jelasnya. – MalaysiaGazette