Asmadi Abdul Rahman

KUANTAN – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengagihkan sebanyak RM11.8 juta dermasiswa kepada 13,548 pelajar anak Pahang sepanjang tahun ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, dermasiswa itu diberikan kepada penuntut berjaya melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) tempatan dan luar negara.

“Bagaimanapun penuntut yang diterima melanjutkan pengajian perlu membuat permohonan terlebih dahulu bagi melayakkan untuk menerima dermasiswa.

“Penuntut yang menyambung pengajian di IPT tempatan layak menerima antara RM500 hingga RM3,000,” katanya hari ini.

Tambah Asmadi, MUIP akan terus menyediakan bantuan kepada penuntut anak Pahang dalam usaha meringankan beban keluarga mereka termasuk bantuan awal pengajian.

“Dermasiswa turut menyalurkan bantuan awal kemasukan ke IPT bagi meringankan beban keluarga penuntut sama ada pengajian di peringkat diploma sehinggalah Ijazah Doktor Falsafah,” katanya

“Selain itu, mereka yang menyambung pengajian di Mesir, Jordan, Maghribi, Yaman, Syria, Afrika dan Indonesia layak menerima antara RM1,200 hingga RM6,000,” katanya.

Manakala pelajar yang menyambung pengajian dalam bidang perubatan di Mesir pula menerima RM3,000 hingga RM6,000. – MalaysiaGazette