DATUK SERI WAN ROSDY WAN ISMAIL
Wan Rosdy Wan Ismail.

KUANTAN – Kerajaan Pahang memperuntuk RM10 juta melalui Kad Kesihatan Warga Emas yang memberi manfaat kepada 18,000 penerimanya.

Selain itu, pembinaan kompleks warga emas bagi menjaga kebajikan golongan itu juga akan dibuat, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menurutnya, ianya sebagai tanda keprihatinan dan bagi memastikan tahap kesihatan warga emas di negeri itu berada pada tahap terbaik serta menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Warga Emas Negeri Pahang.

“Tahun lalu, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM150,000 kepada jawatankuasa ini bagi melaksanakan program pembangunan dan kesejahteraan di setiap daerah.

“Yayasan Pahang sedang membina Kompleks Warga Emas di Bandar Wakaf Madinah Mawaddah yang terletak di atas tanah seluas 74.8 hektar di Penor, Kuantan,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2022 di Dewan Undangan Negeri Pahang hari ini.

Tambah Wan Rosdy, Bandar Wakaf Madinah Mawaddah dirancang sebagai sebuah perbandaran sempurna disokong oleh pelan pembangunan terperinci yang bercirikan bandar Islam moden.

“Fasa Satu pembinaan sedang berjalan meliputi Kompleks Warga Emas yang menyediakan 106 unit kepada seramai 200 penghuni, surau atau pusat pengajian yang mampu memuatkan sekitar 600 jemaah dan beberapa fasiliti kemudahan sokongan.

“Bandar ini juga akan menyantuni warga emas, warga ilmu,golongan asnaf dan gelandangan yang memerlukan perkhidmatan sokongan di mana fasa satu dijangka siap akhir tahun 2022 dan penghuni pertama dijangka pada Mac 2023,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak RM5 juta pula diperuntuk bagi Program Anak Kebanggaan Pahang (Pahang Pride Kid) yang bermula pada tahun depan kepada bayi yang lahir pada tahun 2022.

“Ianya sebagai tanda keprihatinan kerajaan Pahang dalam berkongsi rasa syukur dan gembira ibu bapa mereka dan diberikan saguhati dalam dua bentuk.

“Program Pahang Pride Kid ini melibatkan pemberian RM200 untuk setiap kelahiran di mana RM100 ke dalam bank dan RM100 lagi dalam barangan penjagaan bayi dan ibu sewaktu berpantang,” katanya.

Untuk rekod, Jabatan Perangkaan mencatatkan 25,279 orang setahun bagi purata kelahiran hidup tahun 2020 di Pahang. – MalaysiaGazette