Sebanyak 27 individu termasuk empat warga asing ditahan reman selepas disahkan positif pelbagai dadah terlarang bagi membantu siasatan polis hari ini. - Gambar Ihsan D7 IPD Brickfields.

KUALA LUMPUR – Seramai 23 individu daripada 303 orang yang ditahan dan dikenakan tindakan kompaun kerana berparti liar di kolam renang persendirian di Bukit Kiara malam tadi telah direman untuk membantu siasatan  polis.

Tindakan itu selepas kesemua mereka disahkan positif dadah, kata Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor.

Menurutnya, menerusi tangkapan yang turut membabitkan 111 orang wanita pada serbuan tengah malam di Damansara itu, seramai 131 orang telah menjalani ujian air kencing.

“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap kesemua 131 individu itu mendapati seramai 27 individu daripadanya disahkan positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine, ketamine dan ganja.

“Berdasarkan hasil keputusan itu, polis telah melakukan tangkapan ke atas kesemua mereka yang terdiri daripada 23 warganegara tempatan dan empat orang lagi adalah
warga asing,” katanya kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 

Tambah Amihizam, kesemua mereka yang ditahan berusia lingkungan 17 hingga 50 tahun.

“Kesemua suspek berkenaan (27 orang) kini sudah ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah daripada majistre mahkamah di Jalan Duta untuk membantu siasatan polis.

“Bagi suspek lelaki warga tempatan dibenarkan reman selama dua hari, wanita tempatan direman sehari manakala empat warga Asing direman selama tiga hari bermula hari ini untuk polis melengkapkan kes,” katanya.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih daripada RM5,000 atau hukuman penjara tidak lebih daripada dua tahun dan diwajibkan pengawasan di bawah seliaan Pegawai Pemulihan tidak kurang dari dua tahun tetapi tidak lebih daripada tiga tahun.

Ditanya mengenai tindakan yang diambil ke atas pemilik kelab elit itu, beliau bagaimanapun berkata, pihaknya masih melakukan siasatan mengenai perkara itu.

Terdahulu Amihizam berkata, dalam operasi tersebut, seramai 303 orang individu termasuk 111 orang wanita yang menyertai parti liar di kolam renang sebuah kelab persendirian terkemuka di Bukit Kiara sini ditahan polis lewat malam tadi.

Katanya, dalam serbuan pukul 10.50 malam tadi, sebahagian wanita yang ditahan mengenakan pakaian bikini dan sedang leka menari, mandi di dalam kolam.-MalaysiaGazette