Seramai 303 orang ditahan polis termasuk 111 wanita selepas disyaki terlibat dalam aktiviti hiburan parti liar di kolam renang sebuah kelab persendirian terkemuka di ibu negara pada malam Ahad.Kredit: D7 IPK KL

KUALA LUMPUR – Seramai 303 orang individu termasuk 111 orang wanita yang menyertai parti liar di kolam renang sebuah kelab persendirian terkemuka di Bukit Kiara sini ditahan polis lewat malam tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, dalam serbuan pada 10.50 malam tadi, sebahagian wanita yang ditahan mengenakan pakaian bikini dan sedang leka menari, mandi di dalam kolam.

Mereka juga berhibur dengan minuman keras dan makanan ringan dalam parti tersebut.

Seramai 299 yang ditahan terdiri daripada 158 lelaki dan 55 wanita warga asing, manakala 31 lelaki dan 55 wanita lagi adalah warga tempatan yang terbabit dalam kegiatan parti liar sejak pukul 4 petang itu.

”Polis difahamkan bahawa, setiap individu dikenakan bayaran sebanyak RM60 untuk menyertai parti liar yang dijemput menerusi aplikasi media sosial,” katanya sambil menambah risikan turut dilakukan oleh polis sebelum melakukan serbuan tersebut.

Serbuanyang dilaksanakan di kelab The Sun Deck, Bukit Kiara Equestrian & Country Resort Bukit Kiara, Damansara itu diketuai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nasri Mansor bersama 150 anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur turut menjalankan ujian air kencing kesemua individu yang menyertai parti terbabit.

Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hiburan, Seksyen 22 (b) Akta 342, Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 32 Akta Eksais 1976 dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.- MalaysiaGazette