Seramai 303 individu yang berhibur parti liar di sebuah kelab persendirian di Bukit Kiara ditahan serta dikenakan kompaun berjumlah RM1.5 juta malam tadi. - Gambar Ihsan IPD Brickfields

KUALA LUMPUR – Sekumpulan 303 individu yang  ditahan selepas disyaki berparti liar di kolam renang di Damansara  menerima padah apabila dikompaun sebanyak RM1.565 juta oleh polis.

Kesemua mereka termasuk 111 wanita ditahan dalam keadaan berbikini dan mabuk semasa serbuan polis itu di sebuah kelab di  Bukit Kiara malam tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, penjaga dan penganjur parti liar di kelab persendirian itu iaitu dua lelaki tempatan dikenakan kompaun RM50,000 iaitu RM25,000 seorang atas kesalahan menganjurkan parti liar.

Mereka juga didakwa  melanggar peraturan prosedur operasi standard (SOP) yang mengundang risiko penularan Covid-19.

“Mala seramai 87 orang yang terdiri daripada warga tempatan yang turut ditahan dalam parti kolam renang itu pula turut dikeluarkan kompaun berjumlah RM435,000 atas kesalahan gagal mematuhi penjarakan fizikal dan SOP PPN Fasa 4 Majlis Keselamatan Negara yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malah tambah Amihizam, kesemua warga tempatan itu terdiri daripada 31 lelaki dan 56 wanita tempatan.

Seramai 216 lagi pengunjung warganegara asing iaitu 161 lelaki dan 55 orang wanita pula ditahan dan diperiksa sebelum dikeluarkan denda kompaun berjumlah RM1.080 juta.

Jelas beliau, serbuan yang dilakukan pada jam 10.50 malam itu diketuai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nasri Mansor bersama 150 anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields.

Semasa serbuan, sebahagian wanita sedang berhibur sambil mabuk dalam keadaan separuh bogel.

Polis turut difahamkan setiap individu dikenakan bayaran sebanyak RM60 untuk menyertai parti liar yang dijemput menerusi aplikasi media sosial.

Kesemua suspek telah dilibatkan dalam ujian saringan air kencing untuk mengesan dan menentukan mereka berada di bawah pengaruh dadah atau sebaliknya.

Kesemua 216 individu warganegara asing yang ditangkap kemudian telah dibawa balik ke IPD Brickfields untuk penyiasatan dan tindakan lanjut.

“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hiburan, Seksyen 22 (b) Akta 342, Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 32 Akta Eksais 1976.

Kes turut disiasat mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

303 individu jadikan kolam renang port berhibur dicekup