Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan beliau menggunakan wang kerajaan membiayai keluarganya ke London pada Oktober lalu.

“Saya memahami tindakan Jelutong ini lebih cuba mengalihkan daripada fokus isu yang lebih besar namun saya tidak masalah untuk menjawab perkara yang dibangkitkan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan RSN Rayer (DAP-Jelutong) berkaitan dakwaan beliau menggunakan duit kerajaan bagi membiayai keluarganya ke luar negara.

Mohamed Azmin ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini telah diajukan pertanyaan berhubung perkara itu walaupun pada awalnya Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun tidak membenarkan soalan itu diajukan.

Azhar berkata, perkara itu sudah berlalu dan tiada kaitan dengan isu Bajet 2022.

Namun Dr Ong Kian Ming (DAP- Bangi) bangun memberikan pencerahan bahawa perkara itu tertakluk dalam butiran Bajet 2022.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin menegaskan, setiap perbelanjaan dalam misi perdagangan MITI mematuhi peraturan dan prosedur kewangan yang mana sebelum ia diluluskan ia mesti dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

“Setiap perincian senarai delegasi, jumlah peruntukan, perbelanjaan, destinasi, itu semunya diperincikan dan telah diluluskan oleh Kabinet mengikut peraturan dan tatacara kewangan.

“Saya menafikan tuduhan Yang Berhormat Jelutong,” katanya.

RSN Rayer bingkas bangun dan menjawab ia bukan tuduhan sebaliknya hanya menjalankan tugas sebagai ahli Parlimen.

“Ia bukan tuduhan, jangan perkecilkan tugas kami sebagai semak dan imbang,” kata Rayer.

Pada Oktober lalu, Mohamed Azmin telah menghadiri program Misi Perdagangan dan Pelaburan di Frankfurt, Jerman bagi memperkukuhkan hubungan ekonomi dua hala antara Malaysia dan penggerak kuasa ekonomi di Eropah.

Misi tersebut turut disertai pegawai kanan kementerian yang bertujuan memaparkan dasar kerajaan sebagai mesra perniagaan serta keupayaannya dalam bidang strategik seperti kemampanan, pembuatan tinggi dan Revolusi Perindustrian 4.0.

Program tersebut juga meliputi Perancis dan United Kingdom. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast