Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia

KUALA LUMPUR – Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe percaya penyerang naturalisasi negara Guilherme De Paula, sudah cukup matang untuk menghadapi tekanan di dalam dan luar padang.

Dengan faktor usia dan pengalaman luas dimiliki De Paula, Cheng Hoe berharap pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dapat menjadi contoh terbaik kepada rakan sepasukan, dalam skuad Harimau Malaya.

“Sebagai jurulatih,  saya rasa saya dapat uruskan perkara ini. Tentu sekali, beliau (de Paula) telah berikan yang terbaik sewaktu latihan dan amat komited sekali, kadang kala akibat kecewa yang beliau tidak dapat menjaringkan gol. Saya pasti beliau cukup matang untuk hadapi keadaan ini.

“Saya berharap beliau akan dapat berikan motivasi kepada pasukan dan berikan contoh baik untuk mereka. Saya pasti beliau sudah bersedia untuk perlawanan seterusnya,” kata Cheng Hoe pada sidang media selepas perlawanan pembukaan Kumpulan B di Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 antara Kemboja dan Malaysia, semalam.

Pada aksi di Stadium Bishan itu, Malaysia berjaya meraih tiga mata berharga selepas mengatasi skuad ‘Angkor Warriors’ 3-1 menerusi jaringan sepakan penalti Muhammad Safawi Rasid, Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan M. Kogileswaran.

Hasrat anak buah Cheng Hoe meraih kemenangan bersih tidak kesampaian, apabila Kemboja dihadiahkan sepakan penalti di penghujung perlawanan, yang kemudian disempurnakan Sath Rosib.

Bagaimanapun, media antarabangsa (ESPN) melaporkan De Paula menunjukkan reaksi tidak bersemangat kesukanan selepas beliau digantikan dengan penyerang muda Luqman Hakim Shamsudin, pada babak kedua perlawanan itu.

Menurut laporan tersebut, pemain berusia 35 tahun itu didakwa menendang botol air di luar padang sejurus digantikan, kemudian merenung tajam ke arah penonton yang memberikan tepukan kepadanya sebelum membaling botol air ke bangku simpanan pasukan negara, dan terus menuju bilik persalinan.

Malaysia dijadual bertemu Laos pada Khamis, sebelum berdepan juara bertahan Vietnam (12 Disember) dan menentang Indonesia pada aksi terakhir kumpulan 19 Disember ini. – Bernama