Datuk Seri Najib Razak Appeal Court coffee shop arrest warrant SRC International Sdn Bhd
Datuk Seri Najib Razak

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini memberi kata dua, sama ada prosiding pendengaran permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan kes dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd secara hibrid atau berdepan dengan waran tangkap.

Ini berikutan permohonan pihak pembelaan supaya prosiding pendengaran pagi ini ditangguhkan apabila pasukan pembelaan menjadi kontak rapat atau kontak kasual selepas seorang daripada peguam disahkan positif Covid-19.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil seperti hilang sabar dengan alasan yang diberikan oleh peguam bela Najib, Harvinder Singh Sidhu.

Malah Abdul Karim turut mengingatkan Najib dan pasukan pembelaan bahawa mereka berada di mahkamah yang mengikut lunas undang-undang dan bukan di kedai kopi yang boleh melakukan sesuatu sesuka hati.

Beliau juga hilang sabar apabila permohonan penangguhan itu tidak dihadiri dua penjamin dan mereka hanya muncul ketika prosiding sedang berlangsung.

Penjamin juga tidak dapat menjawab soalan yang dikemukakan hakim yang menanyakan keberadaan Najib ketika itu.

“Ini mahkamah, kita perlukan bukti dan bukan cakap-cakap ‘air liur’ sahaja.

“Hari ini adalah prosiding pendengaran dan patutnya dua penjamin Najib telah diberitahu terlebih dahulu. Tahukah kamu kita boleh batalkan jaminan (RM2 juta) dan keluarkan waran tangkap kerana tidak hadir mahkamah.

“Kamu (penjamin) sendiri tidak tahu mana Najib, kamu hanya main teka. Ini bukan kedai kopi, ini mahkamah berteraskan undang-undang. Jangan kamu main teka-teka.

“Sepatutnya bukan penjelasan guna air liur tetapi bukti jelas mengapa Najib tidak ada hari ini,” katanya.

Turut bersidang Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Mahkamah menetapkan prosiding pada hari ini tidak ditangguhkan, sebalik ia akan dijalankan secara hibrid pada jam 12.30 hari ini.

Wartawan dimaklumkan akan ditempatkan dalam sebuah dewan di Istana Kehakiman untuk mengikuti prosiding secara langsung.

Abdul Karim turut menetapkan tidak ada penangguhan esok bagi menyampaikan keputusan sama ada untuk membebaskan Najib atau mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya selepas didapati bersalah dalam kes SRC International.

Sepanjang tujuh bulan lalu, pasukan pembelaan mengemukakan rayuan dengan 307 alasan mengapa Najib tidak patut didapati bersalah atas semua tujuh tuduhan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast