Ismail Sabri Yaakob unpredictable weather forecast monsoon surge
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – “Adalah sesuatu yang penting buat Malaysia untuk berusaha memulihkan semula negara dan muncul sebagai negara yang berdaya tahan,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Justeru itu, beliau berkata, negara perlu meningkatkan keazaman untuk mengukuhkan kerjasama antarabangsa serta mempunyai keyakinan yang kuat bahawa Malaysia sememangnya sebuah keluarga negara atau keluarga dunia.

Oleh yang demikian, Ismail berkata, Kerangka Dasar Luar Negeri yang dilancarkan beliau hari ini adalah langkah positif mengenal pelbagai arah aliran global yang muncul serta isu-isu yang harus diberi keutamaan.

“Melalui subtema ‘fokus’, rangka kerja ini telah mengenalpasti cabaran utama yang melanda kita dan dunia secara amnya, dan berjaya mengenal pasti pelbagai arah aliran global yang muncul serta isu-isu yang harus diberi keutamaan sepenuhnya dalam jangka masa terdekat.

“Pertama, menggiatkan semula hubungan Malaysia dengan ekonomi global dengan memberi tumpuan kepada mewujudkan kerjasama erat dengan negara lain di platform antarabangsa.

“Kedua, meneruskan diplomasi kesihatan di luar tindakan menerima atau menderma vaksin dan peralatan perubatan lain.  Ini memerlukan Malaysia terlibat secara langsung dalam pembuatan dan pengurusan rantaian bekalan vaksin di seluruh dunia.

“Ketiga, membangunkan ekonomi digital kita yang merupakan salah satu pemacu penting Malaysia untuk pertumbuhan ekonomi,” katanya ketika menggariskan tujuh kandungan Kerangka Dasar Luar Negeri, hari ini.

Turut hadir adalah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan timbalannya, Datuk Kamarudin Jaffar.

Empat lagi fokus dalam rangka kerja ini adalah membentuk norma dan undang-undang keselamatan siber antarabangsa untuk melindungi kepentingan negara Malaysia, memberi penekanan kepada diplomasi budaya untuk meningkatkan identiti nasional Malaysia, menggalakkan kewujudan bersama secara aman antara negara, rakyat yang berbeza kepercayaan, agama dan budaya, dan berusaha untuk meningkatkan perhatian dan komitmen Malaysia yang tidak berbelah bahagi.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, rangka kerja itu akan memfokuskan kepada subtema ‘Kesinambungan’.

Ia lebih kepada sebagai hubungan yang jelas kepada prinsip dasar luar negara, ujarnya.

“Kami akan sentiasa memihak kepada penyelesaian secara aman pertikaian atas paparan kekuatan tentera.

“Justeru, Malaysia akan terus melaksanakan dasar luar negara yang pragmatik, bebas, berprinsip dan tidak bersekutu yang berkisar pada nilai keamanan, keadilan dan kesaksamaan.  Kami akan terus menghormati kemerdekaan negara lain, kedaulatan serta integriti wilayah dan menyokong prinsip tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain,” katanya lagi.  – MalaysiaGazette