Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini menolak sebulat suara permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengemukakan bukti serta keterangan baharu dalam prosiding rayuan SRC International.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan sedang merayu sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya kerana menyalahgunakan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Tiga panel hakim yang bersidang diketuai oleh Datuk Abdul Karim Abdul Jalil memutuskan demikian selepas mendapati pemohon tidak dapat membuktikan adanya keperluan untuk bukti berkenaan dalam keterangan mahkamah.

Kata Abdul Karim, pihaknya tidak memerlukan keterangan tambahan atau bukti baharu bagi prosiding rayuan tersebut.

“Kami sebulat suara mendapati bukti tambahan tidak diperlukan untuk rayuan. Tidak ada keadaan luar biasa yang telah di tunjukkan kepada mahkamah untuk kita terima keterangan tambahan dalam rayuan ini.

“Justeru itu, permohonan ini ditolak. Keputusan penyampaian rayuan kes SRC International akan diteruskan seperti yang ditentukan esok pukul 9 pagi. Terpulang kepada pasukan pembelaan untuk hadir ke mahkamah atau kita lakukan melalui aplikasi zoom seperti hari ini,” katanya.

Turut sama bersidang hari ini Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Pasukan pendakwaan diketuai oleh Datuk Seri Sithambaram manakala pembelaan mewakili Najib diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang ketika ini sedang kuarantin kendiri selepas anak lelakinya yang juga peguambela disahkan positif Covid-19.

Najib sebelum ini telah memohon kepada mahkamah untuk membenarkan dan mengarahkan supaya keterangan viva voce (secara lisan) diambil daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki, pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussein yang merupakan saksi pendakwaan ke-57 dalam kes berkaitan SRC itu serta keterangan mana-mana saksi lain berhubung kes itu.

Dalam afidavit yang difailkan bagi menyokong permohonannya, Najib berkata, permohonan itu dibuat  tanpa berlengah-lengah sebaik sahaja dimaklumkan dan dapat mengumpul semua maklumat dan dokumen yang diperlukan.

Hakim kemudian menetapkan pendengarannya berkaitan keterangan dan bukti baharu ini didengar pada hari ini namun pada saat-saat akhir pembelaan telah memohon untuk pendengaran ditunda memandangkan salah seorang dari peguambela positif Covid-19.

Bagaimanapun mahkamah menolak permohonan tersebut dan prosiding telah diteruskan melalui aplikasi Zoom sejak pukul 12.30 sehingga 4.20 petang tadi.

Pada 2 Disember lalu, Najib melalui peguamnya memfailkan permohonan untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu yang didakwa boleh mengubah keputusan Mahkamah Tinggi.

Antara bukti itu termasuklah pembabitan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang dikatakan bersekongkol dengan Jho Low atau Low Taek Jho bagi memudahkan ahli perniagaan dalam buruan itu menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya, SRC International.

Najib juga turut mendakwa keterangan-keterangan baharu itu sekiranya tidak disembunyikan oleh BNM, SPRM dan juga pendakwaan, ia boleh menyebabkan keputusan Mahkamah Tinggi berpihak kepadanya dan mampu menimbulkan keraguan munasabah dalam kes SRC International. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mahkamah putuskan rayuan Najib atas sabitan kes SRC esok