Penduduk bersama Parti Gerakan Pulau Pinang membantah pembinaan menara telekomunikasi di Gat Lebuh Macallum, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang meluluskan projek pembinaan menara telekomunikasi berhampiran kawasan perumahan serta tempat riadah di Gat Lebuh Macallum di sini mendapat bantahan penduduk setempat.

Ia berikutan pembinaan yang didakwa tidak kena pada tempatnya itu dibimbangi boleh menjejaskan kesihatan jangka masa panjang penduduk berdekatan berikutan projek tersebut mendatangkan kesan radiasi.

Selain itu, penduduk turut meluahkan rasa tidak puas hati susulan pembinaan itu dilakukan tanpa sebarang perbincangan dan di luar pengetahuan mereka.

Menurut penduduk, Goh Yun Fung, 67, mereka khuatir pembinaan menara itu akan menjejaskan kesihatan penduduk di sini terutamanya warga emas serta kanak-kanak yang sering ke taman riadah berhampiran.

Goh Yun Fung.

Jelasnya, menara setinggi 50 meter itu dibina bersebelahan taman riadah dan kira-kira 10,000 penduduk terkesan memandangkan ia terletak berhampiran kawasan perumahan.

“Kami (penduduk) sangka kerja-kerja pembersihan dan pengindahan muara sungai dilakukan sebelum dikejutkan dengan pembinaan menara.

“Penduduk di sini ramai terdiri daripada golongan warga emas dan kami risau masalah kesihatan jangka panjang.

“Susulan itu, saya sendiri pergi ke pejabat  Ahli Dewan Undangan Negeri ((ADUN) Pengkalan Kota bagi mendapatkan penjelasan, namun pelbagai alasan diberikan mereka untuk membatalkan kelulusan projek pembinaan menara itu selain meminta penduduk mengemukakan bantahan rasmi dengan menyertakan surat pemeriksaan kesihatan daripada doktor,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, lebih 20 penduduk di kawasan itu mengadakan bantahan secara aman di kawasan pembinaan menara telekomunikasi terbabit.

Hadir sama, Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong dan Jurucakap Gerakan Bahagian Sungai Pinang, Mok Kok On.

Sementara itu Yeoh C.I, 60, berkata, penduduk mahu kerajaan negeri mengkaji semula tentang kelulusan projek tersebut.

Yeoh C.I

“Kami tidak tahu bagaimana kerajaan negeri boleh meluluskan pembinaannya di kawasan ini tanpa memikirkan kesan kepada penduduk.

“Penduduk tidak bantah pembinaan menara itu cuma ia perlu didirikan jauh dari penempatan,”katanya. – MalaysiaGazette