Che Alias Hamid
Che Alias Hamid

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya mengambil tindakan atau langkah yang lebih berkesan untuk menyekat laman web pornografi daripada terus dilayari rakyat di negara ini.

Perkara itu dibangkitkan Che Alias Hamid (Pas-Kemaman) selepas mendapati akses kepada laman web tersebut semakin membimbangkan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Katanya, ia dibuktikan apabila statistik menunjukkan rakyat Malaysia antara paling ramai melayari laman web lucah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

“Walaupun statistik yang dikeluarkan dalam tempoh PKP, namun saya yakin bahawa individu yang terjebak menonton pornografi ini sebahagian besarnya akan hadapi ketagihan terhadap bahan seumpama itu.

“Oleh itu, saya berpandangan kerajaan perlu melakukan tindakan atau langkah yang lebih berkesan untuk membendung dan menyekat laman web yang seumpama ini.

“Ini kerana ketagihan terhadap pornografi akan melahirkan generasi yang mungkin sihat secara fizikalnya tetapi mempunyai mental yang berpenyakit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2022 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi dan Multi Media (KKMM) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa sejumlah 4,068 laman pornografi telah disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) antara 2018 hingga 30 September tahun ini.

Tegasnya, langkah itu diambil bagi membendung adegan seksual dan kandungan berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) daripada dilayari rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette