Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa menegur sikap Ahli Parlimen pembangkang, Khoo Poay Tiong (DAP-Kota Melaka) kerana membuat tuduhan terhadapnya tanpa fakta yang tepat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, Poay sepatutnya menggunakan fakta untuk berhujah di Dewan Rakyat dan bukannya mengambil petikan berdasarkan laporan media semata-mata.

Katanya, sesuatu tuduhan yang dibuat tanpa maklumat yang teliti boleh menyebabkan hujah yang diutarakan tersasar.

“Nasihat saya kepada Yang Berhormat, kita sebagai Ahli Parlimen perlu teliti dalam membuat satu-satu teguran kerana ia akan memberi refleksi yang tidak baik kepada kita sendiri.

“Misalnya, mengambil quote daripada laporan akhbar kemudian dibawa ke dalam perbincangan tanpa menyemak fakta boleh menjadi satu argument, itu sangat tersasar kerana dalam data-data belanjawan hanya merujuk kepada peruntukan-peruntukan daripada consolidated fund (dana yang disatukan) dalam belanjawan.

“Tapi, perancangan-perancangan kerajaan tidak hanya bergantung pada sumber kewangan dalam belanjawan, banyak peruntukan secara off budget,” katanya ketika menggulung perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Annuar, langkah Poay yang membuat tuduhan seolah-olah beliau mahu memancing undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dengan memberikan fakta yang tidak tepat itu merupakan satu tuduhan yang serius.

Tegasnya, sebagai anggota pentadbir, Ahli Parlimen sepatutnya menunjukkan kebertanggungjawaban meskipun dalam berkempen namun, perlu mempunyai dekorum dalam melakukannya dengan memberikan fakta-fakta yang betul.

Terdahulu, Poay ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2022 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menggunakan petikan laporan media untuk menyerang Annuar seolah-olah beliau memberikan maklumat salah ketika kempen PRN Sarawak sedang berlangsung ketika ini. – MalaysiaGazette