Jonathan Yasin

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam negeri (KDN) memberi jaminan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) akan dibawa ke sidang Parlimen pada penggal ini selepas tertangguh pada tahun lepas.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin berkata, setakat ini, tidak ada perubahan baharu dari segi jadual pembentangan untuk bacaan kali kedua yang dibuat bagi menangguhkan perbahasan RUU itu.

Katanya, jaminan itu selaras dengan usaha kerajaan dalam memastikan RUU itu segera dibentangkan.

“Setakat ini, memang itu rancangan kerajaan, iaitu mengemukakan RUU pada penggal (Parlimen) ini. Buat masa ini, tidak ada perubahan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH – Pulai) yang bertanya adakah kerajaan akan membawa RUU IPCC ke Parlimen pada penggal ini.

Dalam pada itu, Jonathan menjelaskan, RUU tersebut telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Parlimen oleh bekas Menteri Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri pada 18 Julai 2019.

“Walau bagaimanapun, susulan pertukaran kerajaan pada 1 Mac 2020, Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) pada 1 April 2020 telah bersetuju supaya tanggungjawab RUU IPCMC diserahkan kepada KDN dan dibentangkan semula di Parlimen setelah mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

“Susulan dari keputusan MJM tersebut, KDN melalui Jawatankuasa Teknikal telah menjalankan kajian terperinci bagi tujuan penggubalan RUU yang baharu bagi menggantikan RUU IPCMC.

“RUU yang baharu ini dinamakan semula sebagai RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC). RUU IPCC telah dibuat bacaan kali pertama pada 26 Ogos 2020 di Dewan Rakyat,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan berasingan daripada Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) mengenai kadar vaksinasi Covid-19 di pusat tahanan, Jonathan berkata, setakat 10 November lalu seramai 18,385 individu ditempatkan di depoh tahanan Imigresen seluruh negara.

Katanya kesemua tahanan itu sudah menerima sekurang-kurang satu dos vaksin berkenaan, manakala 5,748 lagi sudah lengkap dua dos. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast